[VIDEO] Masih berteka-teki, 3 bintang Indonesia termasuk Saddil Ramdani pernah dikaitkan bersama Gergasi Merah


  • Podium
  • Rabu, 12 Mac 2025

Egy antara pemain Indonesia yang dikaitkan bakal menyertai Selangor musim depan.

SELANGOR FC sekali lagi mengesahkan tempat mereka ke Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) selepas mudah menundukkan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 7-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu lalu (8 Mac).

Kemenangan itu memberikan tiket buat Katsuhito Kinoshi untuk memacu Gergasi Merah ke pentas Asia buat kali kedua selepas mengharungi kempen ACL 2 musim ini dengan hambar.

Hanya berbaki dua perlawanan Liga Super, sudah timbul khabar angin mengaitkan empat pemain import baharu bakal menyertai Gergasi Merah musim depan.

BACA LAGI: 'Jangan cederakan permata kami', Yazan Al-Arab kini jadi pujaan di Seoul lepas ‘dibuang’ Liga M

BACA LAGI: Ayah pernah kutuk tak mampu layak ke Piala Dunia, ex kiper Inter Milan kini sah milik Indonesia

Khabar angin tentang pemain import Selangor.

Dalam empat pemain import itu, Selangor dikhabarkan bakal diperkuat tenaga Indonesia selepas sekian lama Gergasi Merah tidak mempunyai pemain dari negara jiran.

Kali terakhir Selangor menggunakan khidmat pemain Indonesia ialah pada 2019 dengan menandatangani Evan Dimas dan Ilham Armaiyn selama semusim.

Jadi siapakah pemain Indonesia baharu yang akan menyertai Selangor musim depan? Majoriti senaraikan tiga pemain pernah dikaitkan perkuat Gergasi Merah sebelum ini:

1. Saddil Ramdani

Pengalaman dimiliki Saddil Ramdani dalam kancah bola sepak Malaysia tidak lagi boleh disangkal oleh mana-mana penyokong tempatan.

Corak permainan yang berbahaya sebagai pemain sayap pastinya menarik minat Selangor untuk membawa Saddil ke Lembah Klang musim depan.

Ini bukan pertama kali Saddil dikaitkan dengan Gergasi Merah apabila musim lalu juga pemain berusia 26 tahun itu dikhabarkan menerima tawaran Selangor.

Namun Saddil memilih untuk kekal di Sabah selepas hampir empat tahun beraksi bersama Sang Badak.

Bersama Sabah, pemain kebangsaan Indonesia itu telah merekodkan 22 gol dan 29 'assist' dalam 86 perlawanan.

2. Egy Maulana Vikri

Sejak 2017 lagi nama Egy Maulana Vikri telah dikaitkan dengan Selangor kerana kecemerlangannya di usia muda dalam membawa nama Indonesia.

Musim ini, Egy cemerlang dalam BRI Liga 1 Indonesia apabila menjaringkan 11 gol dalam 24 perlawanan bersama Dewa United.

Pemain berusia 25 tahun itu boleh meneruskan legasi Andik Vermansyah, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy jika dia menyertai Selangor musim depan.

Jika benar Selangor merupakan kelab terbaharu Egy musim depan, ia akan menjadi kelab keempat luar Indonesia pernah disertai bekas pemain Lechia Gdansk itu.

3. Shayne Pattynama

Pemain warisan Belanda-Indonesia, Shayne Pattynama boleh memperkuatkan Selangor di posisi bek kiri jika benar dia menyertai Gergasi Merah musim depan.

Mendapatkan ilmu bola sepak daripada akademi termuka dunia, AFC Ajax ini memberikan kelebihan buat Selangor mempunyai graduan berjaya dari Eropah.

Musim ini Pattynama telah beraksi sebanyak 16 perlawanan dalam Liga Belgium bersama KAS Eupen selepas puas berkelana di Norway pada Februari lalu.

Dengan Selangor masih bergelut di posisi bek kiri, Pattynama mungkin jawapan sesuai untuk Kinoshi membawa cabaran Gergasi Merah ke Asia dengan lebih selesa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram