Bekas peledak Port FC antara 3 pemain Brazil boleh ganti Ronnie Fernandez musim depan?


  • Podium
  • Khamis, 13 Mac 2025

Hamilton mungkin antara pemain yang bakal menyertai Selangor musim depan.

SELANGOR FC sekali lagi mengesahkan tempat mereka ke Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) selepas mudah menundukkan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 7-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu lalu (8 Mac).

Kemenangan itu memberikan tiket buat Katsuhito Kinoshi untuk memacu Gergasi Merah ke pentas Asia buat kali kedua selepas mengharungi kempen ACL 2 musim ini dengan hambar.

Hanya berbaki dua perlawanan Liga Super, sudah timbul khabar angin mengaitkan empat pemain import baharu bakal menyertai Gergasi Merah musim depan.

BACA LAGI: Cari betul-betul, jangan semua pemain warisan kita nak sebat — Hanif Miswan

BACA LAGI: 'Iraq bukan, Malaysia pun bukan', Jaami Qureshi ikut jejak Liridon Krasniqi sertai Baller League

Dalam empat pemain import itu, Selangor dikhabarkan bakal diperkuat dua tenaga Brazil selepas sekian lama Gergasi Merah tidak mempunyai pemain dari negara Samba itu.

Kali terakhir Selangor menggunakan khidmat pemain Brazil ialah pada 2022 dengan menandatangani Herlison Caion dan Hyuri Henrique selama semusim.

Jadi siapakah pemain Brazil baharu yang akan menyertai Selangor musim depan? Majoriti senaraikan tiga bintang mungkin perkuat Gergasi Merah musim depan:

1. Hamilton Soares

Penyerang tinggi lampai, Hamilton Soares mungkin antara pemain yang bakal menyertai Selangor musim depan.

Dengan statusnya yang masih ejen bebas, Hamilton dilihat sesuai untuk memperkuat barisan serangan Selangor selepas sudah terbukti di Liga Thailand selama tiga tahun sejak 2021.

Pemain berusia 34 tahun itu pernah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Thailand ketika mewakili Nongbua Pitchaya dengan 19 gol.

Pengalaman Hamilton mungkin tidak gah seperti pemain import lain akan tetapi rekod bekas pemain Port FC di Liga Thailand boleh dilabel membanggakan apabila meledak 44 gol dan 10 'assist' dalam 68 penampilan.

2. Leandro Damiao

Pernah mendapat tawaran kelab England, Tottenham Hotspurs dan wakil Itali, Napoli FC, Leandro Damiao mungkin antara calon yang boleh sertai Selangor musim depan.

Pengalaman dimiliki pemain berusia 36 tahun di kancah bola sepak Asia tidak boleh disangkal lagi apabila membantu Kawasaki Frontale menjuarai pelbagai kejuaraan domestik Liga Jepun.

Damiao juga pernah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Jepun pada musim 2020/21 apabila meledak 23 gol semusim.

Selain Jepun, Damiao juga pernah meraih beberapa gelaran di kejohanan Amerika Selatan bersama CR Flamengo dan SC Internacional.

Rekod 71 gol dalam 178 penampilan Liga Jepun membuktikan bekas pemain Santos FC itu mempunyai kualiti tersendiri meskipun sudah berusia.

3. Crislan Henrique

Adakah bekas penyerang SC Braga, Crislan Henrique bakal sertai Selangor musim depan?

Persoalan itu sekadar khabar angin kerana pemain kelahiran Brazil tersebut masih ejen bebas selepas meninggalkan Nakhonsi United pada Januari lalu.

Pemain berusia 33 tahun itu mempunyai pengalaman beraksi di Brazil, Portugal, Jepun, Korea Selatan, Indonesia dan Thailand.

Rekod terbaik Crislan ialah ketika beraksi bersama Vegalta Sendai (Jepun) apabila dia menjaringkan 13 gol dalam 37 penampilan.

Sepanjang 232 penampilan, Crislan telah menjaringkan 56 gol dan 14 'assist' sejak memulakan kariernya di Brazil pada 2013. — Majoriti

Follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram