Sama seperti di atas padang, skuad futsal Selangor ‘rebah’ bertemu JDT


  • Podium
  • Ahad, 16 Mac 2025

Skuad Harimau Selatan tidak mengalami masalah untuk menundukkan Selangor FC. — Facebook/JDT Futsal

JUARA bertahan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL), Johor Darul Ta'zim (JDT) meneruskan kecemerlangan mereka bagi kempen kali ini dengan mengekalkan rekod 100 peratus selepas dua perlawanan.

Ini termasuk kemenangan mengharumkan 3-0 ke atas naib juara edisi lalu, Selangor FC dalam pertembungan di Stadium Panasonic, Shah Alam, Selangor pada Sabtu.

Keputusan itu sememangnya diraikan skuad Harimau Selatan kerana ia mengukuhkan lagi kedudukan mereka di persada carta selain membakar semangat untuk mempertahankan gelaran.

BACA LAGI: Kedah makin mantap, bawa masuk ex JDT lepas kekalkan sepupu Teerasil Dangda

BACA LAGI: Muat naik foto hitam putih, tonggak JDT ucap selamat tinggal lepas 2 musim bersama

Kualiti dimiliki skuad Harimau Selatan jauh meninggalkan Selangor FC.

Namun, bagi penyokong JDT, mereka melihat kemenangan itu mempunyai makna berbeza memandangkan ia menceritakan dominasi pasukan berkenaan ke atas Selangor FC.

Umum mengetahui bahawa dalam arena bola sepak, permusuhan kedua-dua kelab itu jelas terpancar dalam kira-kira lima tahun kebelakangan ini dengan pertembungan mereka amat dinanti-nantikan.

Bagaimanapun, kelebihan jelas berpihak kepada pasukan Selatan tanah air berkenaan yang tidak pernah mengalami kekalahan kepada skuad Gergasi Merah sejak 2017 selain mempunyai rekod pencapaian lebih baik.

Kepahitan dialami Selangor FC dikuatkan lagi dengan usikan daripada penyokong tanah air yang tampil mengingatkan bahawa pasukan Lembah Klang itu masih jauh di belakang skuad Harimau Selatan.

Kemenangan ke atas Selangor FC meletakkan JDT di tangga teratas MPFL selepas dua perlawanan. Facebook/FAM

"Setakat itu sahaja tahap Selangor FC, mereka ini sudah tidak ada apa-apa lagi untuk dibanggakan. Setiap kali jumpa JDT, mesti menjadi lauk," kata tiger selatan.

"Daripada bola sepak sampailah ke futsal, memang standard Selangor FC masih di bawah JDT setiap tahun," kata e'Da SuRaida.

"Sama macam dalam bola sepak, Selangor FC pasti akan tewas setiap kali bertemu JDT. Terimalah hakikat, anda masih perlu banyak lakukan perubahan untuk memberi cabaran," kata Rahman Arif.

Dalam perlawanan tersebut, skuad Harimau Selatan mencatatkan kemenangan selesa dengan dua gol dijaringkan Awalluddin Mat Nawi sementara satu lagi gol mereka disumbat bekas pemain Selangor FC, Syed Aizad Daniel.

Kemenangan itu menyaksikan JDT yang berada di bawah bimbingan Miguel Garcia berada di kedudukan teratas carta dengan perbezaan jaringan membezakan mereka berbanding pencabar terdekat, Pahang Rangers FC.

Skuad Gergasi Merah pula kini menduduki tangga keempat selepas dua perlawanan dengan hanya tiga mata dimiliki yang masih boleh diperbaiki dalam perlawanan akan datang menentang TOT United pada 23 Mac depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram