ACL Elite: Bekas bintang Liverpool, Man City menanti cabaran Dion Cools, Buriram United di suku akhir


  • Podium
  • Isnin, 17 Mac 2025

Dion Cools berpeluang mengharumkan nama negara dan Buriram United dalam pertandingan berprestij tersebut. — Facebook/Buriram United

KEMARAAN kelab Thailand, Buriram United ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite sedikit mengecewakan penyokong bola sepak tanah air kerana mereka layak ke pusingan itu selepas menyingkirkan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Bagaimanapun, kelukaan tersebut sedikit terubat kerana ramai masih berpeluang menyaksikan wakil negara, iaitu Dion Cools dalam kejohanan tertinggi peringkat Asia berkenaan.

Dia yang beraksi dalam semua 10 perlawanan ACL Elite buat skuad bimbingan Osmar Loss sememangnya memainkan peranan penting sepanjang kempen, baik dari segi serangan mahupun pertahanan.

BACA LAGI: [VIDEO] Tolak tepi rasa gembira, aksi Dion Cools pujuk Arif Aiman sentuh hati fans Malaysia

BACA LAGI: [VIDEO] Bantu benam Ulsan, Dion Cools 'ajar' Kim Pan-gon posisi sebenar atas padang

Hasil undian suku akhir ACL Elite 2024/25 yang menyajikan empat pertembungan menarik. Agensi

Jadi, dengan dia menjadi satu-satunya wakil terakhir negara dalam pertandingan, ramai mengharapkan pemain warisan itu dapat terus membantu Buriram United ke pusingan seterusnya.

Namun, cabaran besar menanti pemain berusia 28 tahun tersebut di suku akhir apabila undian pada Isnin menyaksikan pasukannya akan menanti kelab Arab Saudi, Al Ahli Saudi FC.

Pasukan yang berada di tangga kedua peringkat kumpulan Zon Barat ACL Elite itu tidak boleh dipandang remeh melihat kepada pemain bertaraf dunia dimiliki kelab berkenaan.

Antara tonggak utama dimiliki skuad bimbingan Matthias Jaissale tersebut ialah bekas penyerang sayap Manchester City, Riyad Mahrez serta Roberto Firmino yang menghabiskan tempoh lapan tahun bersama Liverpool.

Kedua-dua pemain berkelas itu, terutamanya Mahrez memainkan peranan penting buat Al Ahli Saudi dalam kempen ACL Elite kali ini memandangkan jentera serangan pasukan berjaya meledak 26 gol sepanjang kejohanan.

Firmino (kiri) dan Mahrez merupakan bintang utama dalam Al Ahli Saudi ketika ini. Agensi

Jadi, menarik bagi peminat bola sepak untuk menyaksikan bagaimana Dion Cools serta rakan sepasukannya untuk mengekang serangan kelab Arab Saudi itu dalam pertembungan suku akhir kelak.

Sekiranya Buriram United berjaya melepasi Al Ahli Saudi, ia akan menjadi rekod terbaru buat wakil terakhir Asia Tenggara itu yang tidak pernah beraksi di pentas separuh akhir ACL sebelum ini.

Undian lain menyaksikan kelab diwakili Cristiano Ronaldo, Al Nassr FC akan bertemu Yokohama F Marinos dari Jepun sementara sebuah lagi pasukan Arab Saudi, Al Hilal FC bakal berdepan Gwangju FC.

Sementara itu, Kawasaki Frontale yang juga antara pasukan terbaik di Zon Timur menanti cabaran Al Sadd FC dari Qatar dengan kedua-dua kelab itu mempunyai kebolehan sendiri di pentas Asia.

Berdasarkan jadual, kesemua perlawanan di pusingan tersebut akan dimainkan di Jeddah, Arab Saudi bermula 25 April nanti dengan perlawanan akhir juga akan berlangsung di negara Timur Tengah berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram