'Bukan soal larian', Slot tolak alasan penat lepas terlepas trofi sulung di Liverpool


  • Podium
  • Isnin, 17 Mac 2025

Pemain Newcastle United meraikan kejayaan menjuarai Piala Liga selepas menundukkan Liverpool 2-1 pada final di Stadium Wembley, London. — Agensi

PENGURUS Liverpool, Arne Slot, menolak dakwaan bahawa keletihan fizikal menjadi punca kekalahan 1-2 pasukannya kepada Newcastle United dalam perlawanan akhir Carabao Cup di Stadium Wembley, London pada Ahad. 

Liverpool gagal mempertahankan kejuaraan apabila Newcastle tampil lebih dominan dengan jumlah percubaan lebih banyak (17 berbanding 7), lebih banyak sentuhan di dalam kotak penalti lawan (26 berbanding 17) dan memenangi lebih banyak duel (51 berbanding 38). 

Selepas tersingkir awal dari Liga Juara-Juara Eropah akibat kekalahan pertengahan minggu lalu, Liverpool jelas tidak berada di tahap terbaik, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai faktor keletihan.

BACA LAGI : Mengagumkan! Kuching City FC ketepi ramalan untuk lonjak ke Top 3

BACA LAGI : Empat bintang 'semi-finalist' ACL 2, wajar jadi pilihan Selangor FC musim depan

Bagaimanapun, Slot menafikan keletihan fizikal sebagai penyebab utama kekalahan pasukannya, sebaliknya menjelaskan bahawa corak permainan Newcastle menyebabkan Liverpool tidak dapat beraksi dengan intensiti biasa.

Ketika ditanya wartawan mengenai keletihan pemain selepas kekalahan di Wembley, Slot menegaskan bahawa sukar untuk menilai keletihan mental, tetapi secara fizikal, pasukannya tidak diuji dengan larian intensif.

“Keletihan mental sentiasa sukar untuk dinilai. Adakah kami letih secara mental atau fizikal pada Selasa lalu? Tidak. Tetapi perlawanan ini tiada kaitan dengan larian, sebaliknya lebih kepada pertembungan fizikal.

“Tiada intensiti larian langsung dalam perlawanan ini. Jadi, kami tidak boleh menilai sama ada pemain letih secara fizikal atau tidak kerana kami tidak dapat memberi tekanan kepada mereka,” katanya.

Pengurus Liverpool, Arne Slot (kanan) menenangkan kaptennya Virgil van Dijk selepas mereka tumpas 2-1 di tangan Newcastle pada final Piala Liga di Stadium Wembley, London. —Agensi

Menurutnya, Newcastle menggunakan hantaran jauh untuk melepasi tekanan tinggi yang cuba diterapkan oleh Liverpool, sekali gus menjadikan rentak permainan perlahan dan tidak intensif.

“Anda boleh menilai keletihan pasukan jika mereka melakukan tekanan tinggi. Tetapi dalam perlawanan ini, tiada apa yang boleh ditekan kerana mereka sering bermain hantaran jauh melepasi tekanan kami.

“Jika mereka mendapat sepakan gol atau sepakan percuma, bola terus dihantar ke barisan pertahanan terakhir kami, yang membawa kepada banyak situasi bola mati,” jelasnya lagi.

 Liverpool dilihat keletihan?

Slot hanya membuat dua pertukaran dalam kesebelasan utama dan salah satunya kerana kecederaan. Namun,  pendekatan itu mengundang persoalan mengenai tahap kecergasan pasukannya.

Melihat kepada kedudukan pasukan tersebut pada musim ini, jika tidak mengambil kira perlawanan piala yang menyaksikan perubahan besar dalam kesebelasan utama, pengurus Belanda itu hanya mencatat purata 2.2 pertukaran setiap perlawanan. 

Pada masa sama, Federico Chiesa menjadi contoh terbaru bahawa Slot seharusnya lebih mempercayai skuadnya yang lebih luas.

Tanda-tanda keletihan telah kelihatan selama beberapa minggu meskipun pengendali Liverpool itu enggan mengakuinya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram