Cedera ketika halang penyerang Leicester, bek muda Man United pakai but pelindung kaki keluar stadium


  • Podium
  • Isnin, 17 Mac 2025

Heaven menerima rawatan panjang di padang sebelum dibawa keluar menggunakan pengusung. — Agensi

MANCHESTER United akan menilai tahap kecederaan yang dialami oleh pemain pertahanan muda mereka, Ayden Heaven selepas mengalami kecederaan serius dalam perlawanan menentang Leicester City di Stadium King Power, Leicester, England pada Isnin.

Heaven yang menyertai United dari Arsenal pada Januari lalu, diberikan peluang pertama dalam kesebelasan utama Liga Perdana Inggeris (EPL) dan mempamerkan aksi mengagumkan pada separuh masa pertama dengan beberapa hadangan penting. 

Namun, nasib malang menimpanya apabila penampilan sulungnya berakhir lebih awal selepas mengalami kecederaan ketika cuba menghalang Patson Daka daripada menyambut hantaran Jamie Vardy.

BACA LAGI: Trauma ditewaskan Man United, kapten Newcastle elak buat ritual lama jumpa Liverpool di Wembley

BACA LAGI: Tempang tanpa 11 pemain, harapan Man United mara ke suku akhir Liga Europa semakin samar

Pemain berusia 18 tahun itu segera memberi isyarat kepada pasukan perubatan dalam keadaan kesakitan yang ketara dan menerima rawatan panjang di padang sebelum dibawa keluar menggunakan pengusung. Heaven kemudian digantikan oleh pemain muda lain, Toby Collyer.

Kecederaan Heaven menimbulkan kebimbangan dalam kem United, memandangkan dia sebelum ini sudah mula menunjukkan potensi besar dengan beberapa penampilan sebagai pemain gantian, termasuk dalam perlawanan menentang Fulham di Piala FA dan bekas kelabnya, Arsenal. 

Pertahanan tengah itu juga telah diberikan tempat dalam kesebelasan utama Man United ketika kemenangan 4-1 ke atas kelab Sepanyol, Real Sociedad dalam saingan Liga Europa pada Khamis lalu.

Bagaimanapun, wartawan Andy Mitten dan Tyrone Marshall melaporkan bahawa Heaven dilihat meninggalkan Stadium King Power dalam keadaan berjalan sendiri, tetapi dengan kakinya memakai but pelindung.

Pengurus United, Ruben Amorim mengesahkan bahawa keadaan Heaven akan dinilai dalam beberapa hari akan datang.

Pengendali Man United, Ruben Amorim. — Agensi

“Kita akan lihat minggu depan. Agak sukar untuk memahami kecederaannya kerana ketika dia terbaring, dia tidak dapat bercakap dan tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan apa yang dia rasa. 

"Dia masih muda, jadi agak sukar untuk memahami keadaannya," katanya selepas kemenangan 3-0 United ke atas Leicester yang turut menyaksikan Rasmus Hojlund dan Alejandro Garnacho menamatkan kemarau jaringan mereka, serta satu gol lewat daripada kapten, Bruno Fernandes.

Kecederaan Heaven menambah lagi masalah kecederaan yang sedang melanda United, terutamanya di bahagian pertahanan. Sebelum ini, United sudah kehilangan Lisandro Martinez, Leny Yoro, Harry Maguire dan Luke Shaw yang masih berada di senarai kecederaan. 

Amorim juga masih tidak dapat menurunkan pemain seperti Kobbie Mainoo, Amad Diallo, Altay Bayindir dan Jonny Evans, manakala Patrick Dorgu baru sahaja menamatkan penggantungan tiga perlawanan domestiknya.

Menerusi perlawanan yang sama, pemain muda United iaitu Harry Amass, mencatat sejarah dalam kariernya apabila membuat penampilan sulung dalam skuad senior pada hari ulang tahunnya yang ke-18.

Amass membuat penampilan sulungnya dalam skuad senior pada hari ulang tahunnya yang ke-18. — Agensi

Namun, terdapat sedikit berita baik buat kem United minggu ini apabila Mason Mount kembali ke sesi latihan dan dimasukkan ke dalam skuad perlawanan buat kali pertama sejak Disember lalu. 

Bekas pemain tengah Chelsea itu sebelum ini mengalami kecederaan hamstring yang menyebabkan dia terlepas 20 perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan.

Walaupun Mount tidak diturunkan sebagai pemain gantian dalam perlawanan menentang Leicester, dia berharap dapat kembali beraksi selepas rehat antarabangsa, apabila United bakal bertemu Nottingham Forest dalam EPL, diikuti aksi derbi Manchester menentang City serta suku akhir Liga Europa menentang Lyon. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram