Hampa di All England, Terbuka Swiss jadi medan 3 bintang negara tebus maruah tercalar


  • Podium
  • Selasa, 18 Mac 2025

Gandingan DinFei perlu membaiki persembahan mereka di Terbuka Swiss.

KEJOHANAN All England menghasilkan nota yang mengecewakan bagi kem negara apabila tiada satu pun wakil Malaysia meraih kejuaraan itu.

Nota mengecewakan itu dilihat boleh ditebus semula oleh wakil negara yang meneruskan perjuangan dengan menyertai kejohanan Super 300, Terbuka Swiss di Switzerland bermula Rabu.

Walaupun prestijnya tidak segah All England, namun Terbuka Swiss boleh menghadirkan nota positif buat wakil negara yang sedang berkampung di Eropah.

BACA LAGI: Hampir 2 dekad kemarau juara, inilah masa terbaik beregu lelaki Malaysia takluk All England

BACA LAGI: Chong Wei, Lin Dan pernah pegang rekod kekal nombor 1 dunia paling lama

Leong Jun Hao

Leong Jun Hao merupakan salah satu daripada perseorangan lelaki negara yang beraksi di All England bersama-sama Lee Zii Jia.

Akan tetapi, nasib tidak menyebelahi pemain itu apabila Jun Hao diberikan undian sukar dengan bertemu pemain pilihan ketiga dari Indonesia iaitu Jonathan Chrtistie.

Jun Hao turut beraksi longlai di All England.

Dan laluan itu ternyata sukar buat Jun Hao apabila dia ditunjukkan jalan keluar menerusi kekalahan straight set 11-21, 19-21.

Di Terbuka Swiss, berdepan satu lagi lawan sukar iaitu bertemu pemain Perancis Toma Junior Popov.

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin

Gandingan beregu lelaki utama negara iaitu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin turut berdepan kekecewaan di All England selepas terpaksa pulang awal.

Mereka yang diletakkan sebagai gandingan pilihan kedua kejohanan, terpaksa akur apabila pulang di pusingan kedua selepas kalah kepada pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, 16-21, 13-21.

DinFei merupakan pilihan pertama di Terbuka Swiss.

Di Terbuka Swiss, pasangan profesional negara itu diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan dengan mereka diundi bertemu wakil Jepun Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita di pusingan pertama.

Jika berjaya menewaskan wakil Jepun itu, gandingan DinFei akan berpotensi berdepan wakil Chinese Taipei, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin atau pasangan dari pusingan kelayakan di pusingan kedua.

Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong

Senasib dengan gandingan DinFei, pasangan beregu lelaki, Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong berdepan nota mengecewakan di All England apabila kalah kepada pasangan Korea Selatan.

Bertemu Kang Min Hyuk-Ki Ju Dong di pusingan pertama, pasangan negara terpaksa akur kalah straight set  14-21, 12-21.

Pasangan Azriyn-Wee Kiong bakal berdepan lawan sukar di pusingan kedua jika layak.

Cabaran berbeza buat Azriyn-Wee Kiong di Terbuka Swiss apabila mereka diundi bertemu gandingan Denmark, Andreas Sondergaard-Jesper Toft pada pusingan pertama.

Jika berjaya melepasi cabaran itu, cabaran getir menanti di pusingan kedua apabila pilihan ketujuh kejohanan iaitu Huang Di-Liang Weng Keng menanti mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram