
MASANYA sudah tiba untuk satu lagi pertandingan berprestij dalam Jelajah Dunia BWF, Kejohanan Seluruh England (All England) diadakan pada 11 hingga 16 Mac di Birmingham, United Kingdom.
Pastinya Malaysia mahu menghasilkan satu lagi juara dalam kejohanan ini terutamanya dari kategori beregu lelaki selepas kita mempunyai calon berkualiti seperti Goh Sze Fei-Nur Izzudin dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Tapi tahukah anda? Sebenarnya hampir dua dekad Malaysia tidak menghasilkan juara All England dari kategori beregu lelaki. Inilah masa terbaik untuk kita melihat juara baharu dari negara kita ditabalkan di Birmingham.
BACA LAGI: Masa tak banyak, Lee Zii Jia cuma ada Orleans Masters 'asah raket' sebelum All England
BACA LAGI: Dihantui rekod buruk di All England, duo Man-Tee sudah tahu tangani tekanan
Kejayaan lampau
Jika dilihat semula kepada rekod lalu, Malaysia sudah menghasilkan lapan juara dari kategori beregu lelaki dalam saingan All England.
Jumlah itu dilihat kecil jika hendak dibandingkan dengan negara lain seperti China dan Indonesia yang lebih konsisten mempunyai juara dari kategori tersebut.
Kien Kiat-Boon Heong adalah beregu lelaki terakhir Malaysia meraih gelaran All England.
Kali terakhir Malaysia mempunyai juara All England dari kategori lelaki adalah pada 2007. Ketika, pasangan Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong merupakan pemenangnya.
Melangkah ke 18 tahun kemudian, kita tidak lagi menghasilkan juara daripada kategori tersebut.
Dipintas Indonesia
Sejak daripada kejayaan yang dihasilkan Kien Keat-Boon Heong itu, Malaysia sudah mula ketinggalan terutamanya dengan musuh tradisi, Indonesia.
Hal ini kerana, sejak 2007, Indonesia sudah menghasilkan empat pemenang beregu lelaki All England berbeza dengan tiga daripadanya merangkul gelaran berganda.
Indonesia ada empat beregu berbeza memenangi All England selepas kejayaan terakhir Malaysia.
Marcus Fernaldi-Kevin Sanjaya meraih gelaran pada 2017 dan 2018. Sementara Fajar Alfian-Muhammad Ardianto melakukannya pada 2023 dan 2024.
Selain itu, Muhammad Ahsan-Hendra Setiawan turut melakukannya pada 2014 dan 2019. Satu lagi pasangan adalah Muhammad Shohibul-Bagus Maulana pada 2022.
Peluang itu cerah
Peluang untuk menamatkan badi hampir dua dekad itu dilihat cerah kerana ketika ini, pasangan beregu lelaki negara berada pada tahap terbaik.
Sekurang-kurangnya, sandaran itu boleh diletakkan kepada tiga pasangan utama ketika ini iaitu Sze Fei-Izzuddin, Aaron-Wooi Yik serta Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
DinFei adalah calon utama membawa kejuaraan All England tahun ini.
Semestinya bagi Sze Fei-Izzuddin, mereka dianggap sebagai salah satu pilihan jika diambil kira prestasi semasa dan aspirasi pasangan itu untuk menjadi beregu nombor satu dunia.
Peluang itu cerah buat Malaysia melihat juara beregu lelaki kesembilan di All England dan kejayaan itu pastinya akan disambut baik oleh para penyokong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram