
LUPAKAN kisah duka saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Johor Darul Ta'zim (JDT) bangkit mempamerkan kualiti mereka selaku juara Liga Super 2024/25 selepas menewaskan Penang FC dengan keputusan 3-0 pada Ahad di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang.
Kemenangan itu memujuk hati skuad Harimau Selatan selepas gagal meneruskan kemaraan ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) selepas dihentikan Buriram United dalam pusingan 16 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.
Dalam perlawanan berkenaan menyaksikan anak-anak buah Hector Bidalgio mudah mendahului aksi Liga Super itu hasil dua jaringan tandukan oleh Eddy Israfilov yang menewaskan Sikh Izhan Nazrel.
BACA LAGI: Faktor 'manja' Arif Aiman jadikan Faisal Halim lebih layak raih gelaran MVP ABK 2023
Kemenangan ke-19 Harimau Selatan untuk saingan Liga Super itu disahkan selepas penyerang kelahiran Brazil, Heberty Fernandes berhasil meledak gol ketiga buat JDT pada minit ke-54 permainan.
Sambutan kemenangan itu bertambah manis apabila sebahagian pemain JDT dilihat menjamu makanan popular di Pulau Pinang iaitu nasi kandar dengan ia dilihat seperti santapan sahur mereka.
Lebih menarik dalam foto yang tular di media sosial itu, kelihatan juga pemain pinjaman Penang FC iaitu Syamer Kutty Abba turut menikmati hidangan berkenaan bersama bekas rakan sepasukannya.
Untuk rekod, Syamer Kutty dikesan tidak tersenarai dalam aksi menentang JDT itu susulan statusnya sebagai pemain pinjaman yang tidak membolehkannya untuk berdepan kelab majikan.
Meskipun terlepas aksi berdepan JDT, Syamer Kutty tetap menjadi pemain penting dalam Penang FC dengan tonggak tengah itu merekodkan 23 perlawanan domestik dan membuat dua bantuan jaringan.
Tidak hanya bermain di posisi kegemarannya sebagai pemain tengah bertahan, malah Syamer Kutty juga kadangkala ditugaskan untuk menjadi central midfielder dan attacking midfielder untuk Harimau Kumbang pada musim ini.
Dalam pada itu, tiga mata diraih Harimau Selatan bimbingan Héctor Bidoglio ke atas Harimau Kumbang kendalian Wan Rohaimi Ismail membolehkan juara Liga Super 11 kali berturut-turut itu mengumpul 61 mata selepas mengharungi 21 perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram