'Selamatkan Kedah', Liridon masih sayang, prihatin nasib kelam Sang Kenari 


  • Podium
  • Isnin, 17 Mac 2025

Liridon meluangkan lima tahun bersama skuad Sang Kenari sebelum berkelana ke Melaka United pada 2019. — Instagram/MatDon

KELAB bersejarah Liga Malaysia (Liga M), Kedah Darul Aman (KDA) kemungkinan besar tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan selepas satu perkongsian dari Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada Rabu lepas.

Menurut pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) itu, beliau turut menjelaskan bahawa masalah ini berpunca daripada pengurusan kewangan yang tidak cekap apabila perbelanjaan melebihi pendapatan yang diperoleh.

Selepas sehari penyokong bola sepak bercakap mengenai khabar angin itu, pemilik majoriti KDA FC iaitu Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar tampil menafikan dan menegaskan bahawa tiada sebarang keputusan yang diambil mengenai penarikan pasukan dari saingan Liga M.

BACA LAGI: 'Iraq bukan, Malaysia pun bukan', Jaami Qureshi ikut jejak Liridon Krasniqi sertai Baller League

BACA LAGI: 'Kami berusaha untuk terus kekal di Liga Super', Daud Bakar jawab masa depan Sang Kenari

Menurutnya, Sang Kenari sedang giat berusaha untuk melengkapkan segala keperluan Pelesenan Kelab oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) supaya dapat terus beraksi dalam saingan Liga Super pada musim hadapan.

Meskipun Mohd Daud memberitahu tidak berniat untuk membubarkan pasukan namun keadaan semasa kelab berkata sebaliknya apabila setakat ini, masih tiada sebarang entiti mahu menjadi penaja utama mereka. 

Keadaan menimpa juara Piala Malaysia sebanyak lima kali itu meraih simpati bekas pemainnya iaitu Liridon Krasniqi. Pemain naturalisasi Harimau Malaya itu dikesan meninggalkan komen sebagai tanda solidariti bersama Kedah.

"Ya ALLAH, tolong selamatkan Kedah," kata pemain yang pernah menjadi wira Sang Kenari susulan beraksi buat kelab tersebut selama lima tahun bermula 2015.'

Tangkap layar komen dari Liridon berhubung nasib Kedah. 

Antara pencapaian yang pernah diraih kelahiran Kosovo itu bersama skuad Sang Kenari adalah trofi Liga Perdana 2015, Piala Malaysia 2016, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih pada 2017.

Ini bukan kali pertama Liridon atau mesra dengan sapaan Mat Don itu menunjukkan simpatinya terhadap Kedah susulan dia pernah menyatakan hasrat untuk kembali ke pangkuan Hijau Kuning secara percuma bagi memastikan mereka melonjak ke puncak semula.

“Telefon saya belum berdering, saya mahu pulang ke rumah (Kedah). Saya bermain secara percuma, cuma hanya mahu membantu,” katanya pada Ogos 2024 iaitu ketika jendela perpindahan kedua berlangsung. 

Namun, tiada sebarang respons dari pihak pengurusan untuk memanggilnya kembali dan kini Liridon beraksi bersama sebuah kelab amatur, Kafig Tiger FC untuk bersaing dalam kejohanan di Baller League cawangan Jerman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram