[VIDEO] AFC sudah terima laporan, pandang serius insiden baling botol JDT-Buriram United


  • Podium
  • Isnin, 17 Mac 2025

Jawatankuasa Disiplin AFC akan melakukan siasatan lebih mendalam berhubung isu tersebut sebelum mengeluarkan sebarang keputusan.

AKSI Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Buriram United pada 11 Mac lalu dicemari apabila segelintir penyokong di Stadium Sultan Ibrahim, Johor bertindak membaling botol ke arah penjaga garisan.

Tindakan itu berlaku selepas mereka tidak berpuas hati dengan keputusan membatalkan jaringan minit akhir Jorge Obregon yang menyaksikan skuad Harimau Selatan tersingkir.

Meskipun objek dibaling tidak mencederakan mana-mana pihak, terdapat kemungkinan hukuman bakal dikenakan terhadap kelab Liga Super itu atas faktor gagal mengawal penyokong.

BACA LAGI: JDT mungkin terpaksa beraksi tanpa penonton angkara kes baling botol

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ada betulnya Gus Poyet', pemerhati faham kesalan coach Jeonbuk Hyundai kepada AFC

Perkara itu turut menerima perhatian pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menegaskan pihaknya bersedia menerima segala bentuk denda daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Bagaimanapun, sehingga kini, masih tiada sebarang perkembangan dikeluarkan badan induk bola sepak Asia itu memandangkan mereka baru sahaja menerima laporan perlawanan.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata, pihaknya masih enggan untuk mengeluarkan sebarang komen berhubung insiden tersebut kerana siasatan sedang dijalankan.

”Laporan perlawanan saya rasa sudah berada di peringkat Jawatankuasa Disiplin dan mereka akan meneliti laporan yang dibuat oleh kimisioner dan juga pengadil.

”Kita biasanya tidak memberi komen tentang prosedur yang sedang berlangsung di peringkat Jawatankuasa Disiplin tapi apa yang boleh saya katakan AFC selalu memandang serius tentang insiden yang berlaku di sekitar perlawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi selepas majlis undian suku akhir AFC Elite pada Isnin dengan semua perlawanan itu akan berlangsung bermula 25 April depan.

Windsor turut menegaskan pihak AFC tidak boleh memberi garis masa untuk memberi keputusan kerana siasatan mengenai insiden sedemikian perlu mengambil masa lama kerana pelbagai prosedur perlu dilalui.

"Kita tidak mahu pegawai bertugas dan pemain beraksi dalam situasi tegang. Jadi, kita akan mengambil serius tindakan seperti membaling botol atau batu. Tetapi, kita akan biar Jawatankuasa Disiplin menilai dan mereka yang akan mengambil keputusan.

"Mereka tidak memiliki tempoh (akhir) kerana mereka memerlukan semua laporan dan akan meniliti dan buat siasatan selanjutnya. Jadi, kita tidak memberi tempoh untuk membuat keputusan," katanya.

Setakat ini, hukuman yang dijangka dikenakan terhadap JDT adalah denda bernilai ribuan ringgit dengan bentuk hukuman lain adalah terlalu berat berdasarkan insiden itu sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram