
Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
AZLAN Johar berseloroh ketika rehat separuh masa bahawa mangkuk air tilikannya bocor hingga ramalannya meleset dalam perlawanan yang dimenangi Kuching City FC (KCFC) ke atas Selangor FC 2-1 di Stadium Negeri Sarawak pada Ahad.
Meramalkan skuad Gergasi Merah itu akan meneruskan rentetan kemenangannya, sebaliknya naib juara liga itu ketinggalan kepada gol Ramadhan Saifullah pada minit ke-27 dan pendahuluan skuad tuan rumah itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
“Mangkuk (tilik) saya ni bocor agaknya,” kata bekas pemain Selangor dan kebangsaan itu ketika tampil sebagai pengulas bersama siaran langsung perlawanan menerusi saluran TV Okey RTM.
BACA LAGI: Fandi: Mujurlah rentetan tanpa kemenangan terhenti selepas tujuh perlawanan
BACA LAGI: PDRM FC semakin terhukum angkara rehatkan ketua jurulatih tanpa sebab munasabah
“Tapi Selangor (lazimnya) akan lebih kuat dalam separuh masa kedua dan saya jangka mereka akan bangkit, terutama dalam suku terakhir permainan,” tambahnya sambil menjangkakan tuan rumah akan bersemangat dengan sorakan penyokong yang diberi kemasukan percuma untuk perlawanan ini.
Hanya lima minit selepas permainan bersambung, Mukhairi Ajmal Mahadi yang baru dibawa masuk menggantikan Faisal Halim selepas rehat, mengimbangi kedudukan 1-1 untuk Selangor dengan memanfaatkan hantaran Quentin Cheng tanpa memberikan penjaga gol, Shahril Saari, sebarang peluang.
Azlan – pemain kebangsaan dari 1983-1987 yang kali terakhir menjadi penolong jurulatih kepada Azraai Khor Abdullah dalam pasukan T-Team pada 2014 – mungkin ketika itu berasakan ramalannya sudah hampir menjadi kenyataan.
Selangor FC gagal membawa pulang tiga mata penuh selepas tewas kepada Kuching City FC di Stadium Negeri Sarawak pada Ahad.
Cuma, Jimmy Raymond – bek kanan KCFC yang gemar naik membantu serangan – mempunyai idea berbeza apabila rembatan rendahnya dari sudut yang semakin sempit terbias daripada Harith Haiqal Adam Afkar memperdayakan penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, untuk gol kemenangan tuan rumah pada minit ke-84.
Kesudahannya, Azlan terpaksa mengakui bahawa statistik perlawanan – 55 peratus pemilikan bola dan lapan percubaan tepat berbanding masing-masing 45 peratus dan hanya tiga percubaan tepat Selangor FC, lebih memberi justifikasi kepada KCFC untuk meraih kemenangan kesembilannya musim ini sambil memberikan lawan kekalahan keempatnya dalam liga.
“Kesungguhan dan usaha keras telah memberi kemenangan kepada tuan rumah,” akuinya sebagai kesimpulan. “Mereka berhak untuk memecah monopoli pasukan-pasukan besar yang sebelum ini menguasai kelompok tiga teratas.”
Tiga mata berharga yang diraih itu menyaksikan The Cats melonjak satu anak tangga ke tangga ketiga setelah merampasnya daripada Sabah FC dengan perbezaan jaringan di sebalik The Rhinos memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.
KCFC berbaki hanya dua perlawanan untuk menamatkan musim, dengan perlawanan terdekat mereka ialah menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Kuching pada 17 April nanti.
Siapa yang menduga daripada sebuah pasukan yang menduduki tangga ke-13 daripada 14 pasukan pada akhir musim 2023, ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak, yang melakukan rombakan besar-besaran dengan membawa masuk keseluruhan muka-muka baharu dapat meraih habuannya seawal ini.
“Syukur Alhamdulillah. Tahniah kepada pemain-pemain yang telah bekerja keras malam ini. Mereka telah bermain dengan baik, mengikuti perancangan taktik dan beraksi bersungguh-sungguh.
“Itu yang kita inginkan sentiasa untuk mendapatkan persembahan konsisten. (Ini) satu kemenangan yang besar untuk Kuching City,” katanya dalam temu bual selepas perlawanan.
Aidil Sharin harus sedar kedudukan pasukannya ketika ini mungkin tidak akan bertahan lama, dengan Sabah FC akan lebih dahulu berdepan PDRM FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 5 April dan seterusnya akan berkunjung ke Stadium Darul Aman, Alor Setar untuk berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 18 April – sehari selepas pertemuan KCFC-JDT.
“Kita akan perbaiki juga apa yang kekurangan untuk malam ini. Tapi buat masa ini, saya harus tabik dan hormat kepada semua pemain atas apa yang mereka tunjukkan (ketika menundukkan Selangor FC).
“(Lagipun), ada sebulan sebelum perlawanan penting menentang JDT. Kita harus lalui pemulihan dahulu. Paling penting kita sambut hari raya dahulu bersama semua orang yang kita sayang. Selepas itu kita akan kembali dengan lebih kuat,” katanya lagi.
Kemenangan KCFC pada Ahad turut mengakhiri rekod tanpa kalah Selangor FC dalam 14 perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan sejak kali terakhir tewas 1-2 kepada Sri Pahang FC dalam aksi pusingan 16 Piala Malaysia di Kelana Jaya pada 1 Disember lalu.
Ketua jurulatihnya, Katsuhito Kinoshi, menerima kekalahan itu atas kesilapan percaturan taktik di samping hujan lebat dalam separuh masa kedua perlawanan yang menyukarkan mereka untuk bangkit bagi sekurang-kurangnya menyelamatkan keputusan seri.
“Separuh masa pertama kami bolos satu gol kerana kesilapan pertukaran posisi pemain, menyebabkan kami terhukum.
“Perjalanan kami belum berakhir musim ini. Selepas ini kami perlu membina semula mentaliti pemain-pemain selepas satu tempoh rehat panjang (untuk berdepan Terengganu FC dan PDRM FC dalam dua aksi terakhir liga),” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram