
JOHOR Darul Ta'zim (JDT) terus mempamerkan kualiti mereka selaku juara Liga Super 2024/25 selepas tiada masalah untuk mendahului perlawanan menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Ahad (16 Mac).
Anak-anak buah Hector Bidalgio mudah mendahului aksi Liga Super itu hasil dua jaringan tandukan oleh Eddy Israfilov yang menewaskan Sikh Izhan Nazrel.
Walaupun Penang ada melakukan beberapa serangan ke arah kubu pertahanan JDT tetapi ia mudah dipatahkan oleh pemain Harimau Selatan.
BACA LAGI: [VIDEO] Mahu bawa masuk import lebih muda, ex PSG boleh penuhi hajat JDT
Dua jaringan tandukan JDT itu hadir pada minit ke-20 dan 27 permainan untuk meletakkan mereka di hadapan pada separuh masa pertama.
Pada minit ke-30, JDT berpeluang untuk menggandakan jaringan selepas bola terkena tangan Richmond Ankrah dalam kotak penalti.
Namun begitu, penjaring terbanyak Liga Super, Bergson da Silva gagal menyempurnakan jaringan penalti tersebut selepas berjaya diselamatkan oleh Sikh Izhan.
Walaupun Penang ketinggalan 0-2 akan tetapi aksi Sikh Izhan yang berjaya menyelamatkan sepakan penalti Bergson itu telah menghidupkan kembali suasana suram di Stadium Bandaraya.
Penyokong-penyokong Penang bersorak gembira apabila Bergson gagal menyempurnakan penalti itu untuk meletakkan JDT tiga gol di hadapan.
Keputusan kekal 0-2 dengan Penang ketinggalan di halaman sendiri.
Bersambung babak kedua perlawanan, JDT terus bermula garang apabila menjaringkan gol menerusi Heberty Fernandes untuk meletakkan Harimau Selatan 3-0 di hadapan.
Hampir keseluruhan perlawanan Penang gagal mendominasi aksi tersebut meskipun beraksi di hadapan penyokong sendiri.
Di separuh masa kedua juga, JDT telah membuat pertukaran apabila memasukkan Mohamadou Sumareh yang mana mendapat sokongan gemuruh dari penyokong lawan.
Kemasukan Sumareh tidak menambah apa-apa jaringan buat JDT selepas Heberty menjadi pemain terakhir yang mencetak nama selaku penjaring buat JDT dalam perlawanan itu.
Keputusan kekal 0-3 dengan Penang terpaksa akur kehebatan JDT selepas gagal mengutip sebarang mata di halaman sendiri.
Selepas ini, Penang FC akan terbang ke Stadium Paroi untuk berhadapan cabaran Negeri Sembilan FC manakala JDT pula bakal berdepan Kuching City di Stadium Negeri pada 17 April. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram