JDT mungkin terpaksa beraksi tanpa penonton angkara kes baling botol


  • Podium
  • Khamis, 13 Mac 2025

Segelintir penyokong yang tidak bertanggungjawab telah melemparkan botol ke dalam padang.

INSIDEN baling botol yang berlaku semasa perlawanan melibatkan Johor Darul Ta'zim (JDT) baru-baru ini menyaksikan ketegangan timbul dalam kalangan penyokong.

JDT turun bertemu Buriram United dalam aksi timbal balik kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor dengan kedua-dua pasukan memasang impian untuk meraih tiket ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) pada Selasa.

Aksi berlangsung cukup sengit sepanjang tempoh 90 minit sebelum JDT terpaksa akur tumbang di laman sendiri hasil jaringan bintang muda Buriram United, Suphanat Muenta.

BACA LAGI: 'Warm the bench', fans Sang Penyu tak restu Safawi Rasid kembali ke JDT

BACA LAGI: 'Tengah on form pun tak terpilih,' fans The Cats panas hati Jimmy Raymond tercicir ‘call up’ HM

Harimau Selatan terpaksa menelan pahit apabila tewas 0-1 di gelanggang sendiri.

Bagaimanapun satu insiden yang tak digemari berlaku di penghujung permainan apabila segelintir penyokong yang tidak bertanggungjawab telah melemparkan botol ke dalam padang.

Insiden baling botol itu berlaku ketika jaringan penyamaan oleh JDT menerusi Jorge Obregon pada masa kecederaan dibatalkan selepas pembantu pengadil mengangkat bendera, menandakan pemain itu berada dalam kedudukan ofsaid.

Keputusan itu menyebabkan segelintir penyokong JDT kecewa dan bertindak membaling botol ke dalam kawasan padang.

Semakan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) selepas itu turut mengesahkan Obregon berada dalam kedudukan ofsaid, sekali gus menyaksikan Buriram United berjaya mara ke perlawanan suku akhir ACLE.

Mengulas lanjut mengenai insiden tersebut, pemerhati sukan tanah air, Afiq Rowley berpendapat bahawa JDT kemungkinan hanya akan diberi amaran atau denda ringan.

"Saya tidak pasti mengenai hukuman mungkin bakal dikenakan kepada JDT. Tetapi rekod sebelum ini menyaksikan SSI bersih daripada sebarang insiden sedemikian rupa buat pentas Asia.

"Pandangan saya, mungkin hanya amaran atau denda yang tidak berat sahaja," katanya kepada Majoriti.

Menurutnya lagi, insiden itu dilihat tidak mempengaruhi reputasi dan kelayakan JDT dalam pertandingan ACLE pada masa depan.

"Saya rasa ia langsung tidak mempengaruhi JDT di pentas Asia. Tiada sebarang provokasi berat dan ini merupakan insiden pertama kali mereka di saingan ACLE," tambahnya.

Walaupun tiada pihak yang cedera dalam kejadian tersebut, insiden itu menimbulkan kebimbangan mengenai tindakan disiplin yang mungkin diambil oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Sebagai langkah pencegahan, JDT mungkin terpaksa beraksi tanpa kehadiran penyokong dalam beberapa perlawanan akan datang.

Keputusan itu pasti memberi kesan kepada Harimau Selatan yang terkenal dengan sokongan padu penyokong mereka di stadium.

"Biasanya, kelab akan didenda atau jika situasi sangat teruk, mungkin mereka bakal beraksi tanpa kelibat penyokong sahaja.

"Untuk kes JDT, berat saya rasakan hanya denda ringan bakal diberikan kerana insiden itu langsung tidak sebabkan siapa-siapa cedera atau kerosakan fasiliti," ujarnya.

Tambah Afiq, sekiranya kelab itu dikenakan hukuman, sudah pasti sistem keselamatan pasukan mungkin akan lebih dipertingkatkan terutama dalam perlawanan-perlawanan yang dianggap 'panas'.

"Possibility itu ada, kesannya pasti sistem keselamatan kelab tersebut akan lebih meningkat selepas ini terutama membabitkan aksi panas," kongsinya.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Facebook/JOHORSoutherntigers

Pada masa sama, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menasihati penyokong bola sepak agar menjaga tingkah laku dan tidak bertindak keterlaluan.

Menurut baginda, insiden tersebut yang pertama kali berlaku di Stadium Sultan Ibrahim amat memalukan serta tidak mencerminkan budaya bangsa Johor.

Baginda juga mengakui bahawa AFC akan mengenakan denda besar kepada JDT.

“Kita pun tak tahu dan kena tunggu. Tapi awak kena fikir, tingkah laku itu yang menjadi mangsa adalah kelab kita juga.

“Sebelum buat apa-apa, kena berfikir dulu. Ini nasihat saya kepada semua, jangan terlalu ikut emosi,” titah baginda semasa sesi soal jawab dengan peminat Harimau Selatan di Cafeteria JDT bagi membincangkan isu-isu terkini kelab pada Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram