
PRESTASI mengecewakan terus menyelubungi Chelsea FC dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sleepas mereka mengalami satu lagi kekalahan di tangan Arsenal pada Ahad.
Gol tunggal Mikel Merino pada minit ke-20 sudah cukup untuk memastikan tiga mata milik skuad The Gunners yang mengukuhkan lagi kedudukan mereka di tangga kedua carta.
Namun, bagi Chelsea yang hadir sebagai pasukan pelawat, kekalahan itu menyulitkan harapan mereka untuk layak ke pentas Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim depan dengan hanya satu mata dibezakan berbanding Manchester City.
BACA LAGI: Bruno tiada ciri kapten berkaliber, Maguire sebenarnya lebih layak ketuai Man United
BACA LAGI: Bakat sahaja tak cukup, Roy Keane anggap Bruno Fernandes kapten tak boleh diharap
Persembahan Nkunku (kanan) amat mengecewakan. — Agensi
Kekalahan kelapan dialami dalam EPL 2024/25 turut membuka mata ramai pihak mengenai mutu sebahagian pemain yang belum cukup untuk membawa The Blues ke tahap lebih tinggi.
Hal itu turut disokong legenda Arsenal, Ian Wright yang menunding jari ke arah dua pemain Chelsea atas keputusan tersebut kerana masing-masing gagal menampilkan aksi terbaik.
Mereka yang dimaksudkan penyerang, Christopher Nkunku dan penjaga gol, Robert Sanchez kerana kedua-duanya melakukan kesilapan sehingga memberi peluang buat The Gunners meledak.
"Saya boleh kata tandukan Merino adalah cukup baik, tetapi anda perlu perhatikan kealpaan Nkunku. Ada sebabnya Enzo Maresca sebagai pengurus memintanya untuk mengekang Merino.
"Bagi Sanchez pula, dia tidak sepatutnya berada di situ kerana dia perlu kembali ke garisan. Dia sebenarnya mempunyai ruang selesa, tetapi boleh pula dikekang pihak lawan? Dia dapat menepis bola sekiranya berada di posisi lebih baik," katanya.
Ian Wright mengharapkan aksi lebih baik daripada Chelsea. — Agensi
Kedua-dua pemain berkenaan gagal menampilkan prestasi terbaik sejak menyertai Chelsea, terutamanya Nkunku yang pernah diangkat sebagai antara penyerang terbaik di Eropah.
Bagaimanapun, isu kecederaan dialami bintang antarabangsa Perancis itu menyaksikan impak dibawanya kurang menyerlah sehingga terdapat laporan dia akan dilepaskan pada jendela perpindahan akan datang.
Wright yang pernah menjaringkan 185 daripada 288 penampilan buat skuad The Gunners turut berpendapat Chelsea tidak dapat memberi ancaman kerana tiga daripada tonggaknya tidak dapat diturunkan.
"Mereka jelas merindui kelibat (Cole) Palmer. Ketiadaan (Nicolas) Jackson dan (Noni) Madueke turut dirasai. Gaya permainan berbeza mungkin akan ditampilkan Arsenal jika ketiga-tiga mereka diturunkan.
"Saya akui gembira atas kemenangan Arsenal itu, tetapi saya jangka prestasi lebih baik daripada Chelsea. Tidak salah untuk saya katakan mereka amat mengecewakan," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram