
PENGENDALI Liverpool, Arne Slot menegaskan pasukannya perlu beraksi di tahap terbaik musim ini bagi memastikan kemenangan ke atas Paris Saint-Germain (PSG) dalam perlawanan kedua pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara di Anfield pada Khamis.
Liverpool membawa kelebihan 1-0 selepas kemenangan tipis di Parc des Princes, minggu lalu, namun Slot tetap berhati-hati dan menganggap peluang kedua-dua pasukan untuk mara ke peringkat seterusnya masih seimbang.
"Keputusan memihak kepada kami, tetapi persembahan adalah milik mereka," kata Slot.
BACA LAGI: Tiada seorang pun 'pundit' ramal Liverpool bakal juara EPL 2024/25
BACA LAGI: Gara-gara gegaran otak bek Southampton, Liverpool dapat 6 penggantian pemain
Menurut pengendali dari Belanda itu, intensiti permainan PSG pada perlawanan pertama telah membuatnya sukar untuk tidur dan memaksanya bekerja lebih keras dalam persiapan menghadapi aksi di Anfield.
“Dalam minggu seperti ini, saya langsung tidak bermimpi. Saya hanya tahu bahawa saya perlu bekerja keras untuk menyediakan pasukan dengan cara terbaik," tambah pengendali berusia 46 tahun itu.
Liverpool kini diperkuat dengan kepulangan Cody Gakpo daripada kecederaan, tetapi Slot mengakui pasukannya perlu bermain di tahap lebih tinggi untuk menewaskan juara Perancis itu.
Gakpo sudah pulih dari kecederaan yang dialaminya. — Agensi
Slot turut menyebut kemenangan 2-0 ke atas Manchester City pada Disember lalu sebagai bukti bahawa The Reds mampu bersaing dengan pasukan elit Eropah. Dia bagaimanapun menyifatkan PSG sebagai pasukan paling lengkap yang Liverpool hadapi setakat ini.
“Kami sudah menentang Arsenal dan City, dan jurangnya tidak besar. Tetapi PSG bermain dengan intensiti tinggi, memiliki pemain berkualiti, serta merupakan salah satu kelab terkaya di dunia.
“Mereka memiliki begitu banyak kualiti dan seorang pengurus hebat yang mengeluarkan potensi terbaik daripada setiap pemainnya. Kami perlu berada di tahap terbaik," ujarnya.
PSG bersedia mahu menewaskan Liverpool di Anfield. — Agensi
Dalam pada itu, beberapa laporan mendakwa anak-anak buah Luis Enrique merasakan bahawa Arsenal dan kelab gergasi Jerman iaitu Bayern Munich merupakan lawan lebih sukar berbanding Liverpool dalam peringkat kumpulan.
Namun, Slot tidak terkesan dengan dakwaan itu, sebaliknya menegaskan PSG telah berkembang sebagai pasukan sejak peringkat awal kejohanan.
“Saya tidak fikir kami bermain dengan teruk di Paris. Saya lebih melihatnya sebagai mereka bermain dengan sangat baik. Tetapi saya yakin kami boleh beraksi dengan lebih baik, dan itu sesuatu yang perlu kami buktikan esok dengan bantuan penyokong di Anfield,” kata Slot. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram