
KEM Manchester United dilihat berdepan ujian cukup getir apabila kehilangan sekurang-kurangnya 11 pemain menjelang perlawanan kedua pusingan 16 terakhir Liga Europa menentang Real Sociedad di Old Trafford, Manchester, England pada Jumaat.
Meskipun mendapat suntikan tenaga dengan kembalinya Manuel Ugarte ke dalam skuad, skuad kendalian Ruben Amorim berkenaan terpaksa menerima satu lagi tamparan apabila pemain pertahanan tengah mereka iaitu Leny Yoro disahkan tidak dapat beraksi akibat kecederaan.
Ugarte sebelum ini terlepas dua perlawanan penting, termasuk aksi seri 1-1 menentang Sociedad dan Arsenal minggu lalu. Bagaimanapun, pemain tengah itu kembali menjalani latihan pada pagi Rabu dan disahkan akan menyertai skuad bagi perlawanan penting ini.
BACA LAGI: Arne Slot pasrah hilang khidmat Trent, tapi yakin kehadiran bek Perancis sebelum final Piala Liga
Sebaliknya, Yoro mengalami kecederaan ketika menentang Arsenal pada Ahad lalu dan terpaksa dikeluarkan pada separuh masa dengan dia dijangka tidak akan kembali sehingga selepas perlawanan antarabangsa bulan Mac.
Dalam perkembangan lain, Harry Maguire masih dalam tempoh pemulihan selepas mengalami kecederaan ketika kekalahan pusingan kelima Piala FA kepada Fulham dengan keputusan penalti 3-4 pada 2 Mac lalu.
Bagaimanapun, bek tengah yang juga merupakan kapten England tersebut dijangka kembali beraksi menentang bekas kelabnya, Leicester City, pada hujung minggu ini.
Turut memberi sedikit harapan kepada pasukan adalah kepulangan Mason Mount ke sesi latihan selepas tiga bulan direhatkan akibat kecederaan hamstring. Namun, Amorim mengesahkan bahawa bekas pemain Chelsea itu masih belum bersedia untuk diturunkan dalam mana-mana perlawanan minggu ini.
Mount akhirnya kembali ke sesi latihan selepas tiga bulan direhatkan akibat kecederaan hamstring.
“Mason Mount masih terlalu awal untuk diturunkan. Leny tidak dapat bermain, dan Harry Maguire juga tidak boleh beraksi kali ini, tetapi saya berharap dia dapat bermain pada Ahad nanti.
"Manu (Ugarte) sudah kembali dalam skuad dan saya rasa tiada pemain lain yang akan kembali buat masa ini," kongsinya.
Selain itu, beberapa pemain utama lain seperti Altay Bayindir, Tom Heaton, Jonny Evans, Lisandro Martinez, Luke Shaw, Kobbie Mainoo, dan Amad masih berada dalam senarai kecederaan, manakala Chido Obi pula tidak layak untuk diturunkan.
Man United kini dalam prestasi yang tidak menentu selepas mencatat keputusan seri 1-1 dalam tiga perlawanan terakhir mereka. Walaupun begitu, mereka masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam sembilan perlawanan Liga Europa musim ini.
Amorim juga pastinya tidak mahu mencalar rekod Man United yang belum pernah tewas di Old Trafford dalam kejohanan Liga Europa sejak Real Sociedad menang 1-0 pada peringkat kumpulan 2022.
Menjuarai Liga Europa kini menjadi keutamaan United untuk menyelamatkan musim domestik mereka yang semakin merosot. Mereka kini berada di tangga ke-14 Liga Perdana dan telah tersingkir dari kedua-dua kejohanan domestik.
Jika berjaya merangkul kejuaraan Liga Europa, skuad The Red Devils bukan sahaja menambah satu lagi trofi ke kabinet mereka tetapi juga memastikan tempat dalam Liga Juara-Juara musim depan.
“Dalam konteks ini, kejuaraan Liga Europa sangat penting. Ia akan memberi tenaga tambahan kepada pasukan untuk menghabiskan musim ini dengan cara yang lebih baik," jelasnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram