Bruno tiada ciri kapten berkaliber, Maguire sebenarnya lebih layak ketuai Man United


  • Podium
  • Ahad, 09 Mac 2025

Kepimpinan Bruno Fernandes sebagai kapten Manchester United mula dipertikai.

MUSIM ini, segalanya tampak tidak kena dengan Manchester United. Baik dari prestasi dalam padang dan hal luar padang termasuk melibatkan pemilik minoriti, Sir Jim Ratcliffe.

Selain itu, ada juga satu lagi isu melibatkan ketua pasukan mereka iaitu Bruno Fernandes yang dilihat kurang karismanya sebagai pemimpin hingga tidak mampu membantu United bangkit.

Mungkinkah Fernandes bukanlah pemain yang mempunyai ciri kepimpinan yang tinggi? Mungkin juga, Ruben Amorim boleh mengembalikan lilitan lengan ketua pasukan kepada Harry Maguire? 

BACA LAGI: Bakat sahaja tak cukup, Roy Keane anggap Bruno Fernandes kapten tak boleh diharap

BACA LAGI: Hanya seri bertemu Everton, legenda EPL ‘sekolahkan’ 3 bintang Man United termasuk Bruno Fernandes

Kurangnya karisma sebagai pemimpin

Satu perkara yang ditekankan mengenai kualiti kepimpinan Fernandes, dia dilihat tidak mempunyai karisma untuk menjadi ketua pasukan berkualiti.

Bekas ketua pasukan United, Roy Keane berkata kepada legenda Arsenal iaitu Ian Wright dalam podcast Stick to Football, Fernandes adalah seorang pemain yang berbakat tetapi bukannya pemimpin berpengaruh di bilik persalinan.

"Dia bukannya ketua pasukan yang kita harapkan. Bakat saja tak cukup, benar Fernandes adalah pemain berbakat tetapi dia tidak cukup dalam semangat perjuangannya.

"Sebagai contoh, adakah Tony Adams seorang pemain paling berbakat dalam bilik persalinan Arsenal satu masa dulu? Tidak bukan, tapi dia adalah pemimpin yang berkualiti," kata Keane.

Maguire lebih berpengaruh

Jika hendak dibandingkan dengan kualiti sebagai pemain, jelas sekali Fernandes lebih berbakat berbanding Maguire. Namun begitu, dari segi kualiti kepimpinan lain pula ceritanya.

Maguire dilihat sebagai ketua yang lebih berkaliber berbanding Fernandes. Sedangkan masa dia menjadi kapten United, dia masih mampu membawa pasukan dengan baik dengan cirinya yang mementingkan kelab (selfless).

Harry Maguire pernah menjadi ketua pasukan Manchester United.

Apa yang mencalar imej Maguire ketika menjadi kapten adalah prestasinya yang sering buruk. Namun begitu, kualitinya di bilik persalinan masih baik dan walaupun United sering dilanda gelora.

Sekurang-kurangnya, ketika Maguire menjadi ketua pasukan, United tidak menghabiskan banyak masa di bottom half carta Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti sekarang.

Kerana tiada pilihan lain

Buat masa sekarang, segalanya tidak kena di United dari pelbagai sudut. Termasuklah pemimpin yang berkualiti untuk mengetuai skuad The Red Devils.

Jika Amorim mahu menukar ketua pasukannya, pilihan yang ada padanya cumalah Maguire kerana dia adalah antara pemain senior di kelab selain Jonny Evans.

Lisandro Martinez boleh jadi 'wildcard' kepada calon kapten United seterusnya.

Seandainya pengurus itu mahu mencuba sesuatu yang baharu, mungkin Lisandro Martinez boleh dipertimbangkan sebagai ketua pasukan baharu kelab itu.

Dengan status sebagai pemenang Piala Dunia bersama Argentina, ia mungkin boleh membuatkan para pemain United lebih mahu mengikut gerak kepimpinannya sekali gus membawa kejayaan buat United. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram