
SUSULAN penyingkiran dari Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) tampil membuat laungan mengenai rombakan yang bakal dilakukan.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan, penaung Sultan Johor itu sudah mengenal pasti kelemahan pasukan dengan pelaburan akan dibuat bagi menutup kekurangan di dalam dan di luar padang.
Bagaimanapun, ketika sesi soal jawab dengan penyokong, Tunku Ismail enggan mendedahkan pemain yang bakal dibawa masuk pada musim depan bagi mengekalkan keharmonian dalam bilik persalinan.
BACA LAGI: Tersingkir ACLE, Tunku Ismail sudah kenal pasti kelemahan, hanya tunggu masa berbelanja besar
BACA LAGI: TMJ umum Datuk Lee Chong Wei duta sukan Johor
Hal itu kemudiannya menimbulkan spekulasi dalam kalangan pengikut setia skuad Harimau Selatan berhubung rekrut akan disambar juara Liga Super berkenaan bagi memperkuatkan lagi pasukan.
Tetapi, sekiranya JDT komited untuk menandatangani lebih ramai import berkelas dunia, mereka terlebih dahulu perlu melepaskan segelintir pemain bagi mewujudkan ruang bagi nama-nama baharu itu.
Usaha tersebut sudah tentu sukar direalisasikan kerana rata-rata bintang dalam JDT masih boleh memberikan aksi terbaik buat beberapa musim lagi meskipun usia masing-masing semakin lanjut.
Namun, jika keadaan mula mendesak, tidak mustahil sekiranya pihak pengurusan kelab Selatan tanah air berkenaan akan berbuat demikian dengan terdapat tiga calon yang berkemungkinan ditunjukkan jalan keluar.
1. Jordi Amat
Sepanjang musim ini, JDT berkali-kali menandatangani bek tengah baharu, termasuk Park Jun-heong serta Eddy Israfilov dalam misi mengukuhkan lagi barisan pertahanan mereka di pentas Asia.
Namun, nama-nama besar dibawa masuk itu masih belum mencetuskan impak besar kerana dalam peringkat kumpulan, mereka dibolosi sebanyak lapan kali sebelum satu lagi gol dilepaskan di pusingan 16 pasukan menentang Buriram United.
Rombakan dalam aspek berkenaan sudah tentu ditekankan pihak pengurusan dengan pemain berusia, Jordi Amat mungkin terpaksa dikorbankan kerana usianya yang semakin lanjut.
Tidak mustahil Jordi Amat (tengah) dilepaskan skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Tidak boleh dinafikan bahawa pemain antarabangsa Indonesia itu memainkan peranan penting sepanjang kempen kali ini dengan 24 penampilan sudah direkodkan secara keseluruhan.
Bagaimanapun, JDT masih memerlukan seorang lebih muda dan bertenaga untuk mengekang serangan pihak lawan dalam ACL Elite memandangkan setiap pasukan bertanding memiliki barisan serangan cukup mengerikan.
Tempatnya dalam pasukan masih boleh diisi Jun-heong atau Israfilov kerana kedua-dua pemain berkenaan memiliki nilai tersendiri sebagai bek tengah di pentas Asia.
2. Samu Castillejo
Rekrut terbaru skuad Harimau Selatan, Samu Castillejo tidak sempat meninggalkan impak besar buat pasukan kerana dia hanya sempat diturunkan sebanyak dua kali, iaitu ketika berdepan Buriram United.
Malah, dalam penampilan kedua di laman sendiri, bekas pemain AC Milan itu berkali-kali dikritik kerana enggan membuat hantaran kepada Arif Aiman Hanapi ketika memiliki peluang.
Kehadiran Castillejo dianggap mengganggu taktikal skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Kehadiran Castillejo turut menyaksikan bintang JDT berkenaan beraksi di posisi berbeza dengan ramai beranggapan keputusan Hector Bidoglio itu punca penyingkiran pasukan.
Jadi, hal berkenaan menimbulkan kemungkinan bahawa pemain berusia 30 tahun itu tidak akan dikekalkan bagi kempen akan datang selepas pihak pengurusan berasakan terdapat kesukaran untuk menyesuaikannya dalam pasukan.
Mereka juga sudah tentu akan mencari mana-mana import 'Gred A' yang sesuai dengan perancangan kelab untuk beraksi musim depan tanpa perlu membuat pengorbanan terhadap taktikal pasukan.
3. Roque Mesa
Salah seorang ejen bebas yang turut dibawa masuk JDT bagi mengharungi saingan ACL Elite ialah Roque Mesa dengan pengalamannya beraksi di Eropah membawa nilai tarikan.
Selain bertahun-tahun beraksi di Sepanyol, pemain tengah berkenaan pernah menghabiskan tempoh semusim di Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Swansea City FC.
Bagaimanapun, pengalaman dan kebolehan tersebut tidak dapat dicurahkan dalam skuad Harimau Selatan dengan lebih lama susulan kecederaan dialaminya ketika berdepan Central Coast Mariners.
Kecederaan Mesa akan mendesaknya untuk direhatkan beberapa bulan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Dalam perlawanan di Australia pada Februari lalu, Mesa hanya sempat beraksi 26 minit sebelum terpaksa dikeluarkan dengan pihak kejurulatihan tidak dapat menilai statusnya ketika itu.
Tetapi, dalam perkembangan terbaru, pemain berusia 35 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan kruisat anterior ligamen yang perlu beberapa bulan untuk sembuh sepenuhnya.
Situasi berkenaan dicampur pula dengan umurnya yang semakin lanjut sudah tentu akan mendesak pihak pengurusan kelab untuk tidak menyambung kontrak pemain kelahiran Sepanyol itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram