
BAGI menebus kekecewaan atas penyingkiran dari Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite, Johor Darul Ta'zim (DJT) mahu meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Liga Super.
Meskipun sudah sah ditabalkan juara, skuad Harimau Selatan pasti bercita-cita besar untuk meraih tiga mata penuh dalam perlawanan menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Ahad.
Jadi, dalam merealisasikan harapan itu, mereka dijangka menurunkan kesebelasan utama terbaik dengan tonggak utama seperti Bergson da Silva dan Heberty Fernandes sudah tentu beraksi.
BACA LAGI: [VIDEO] Tolak tepi rasa gembira, aksi Dion Cools pujuk Arif Aiman sentuh hati fans Malaysia
BACA LAGI: 'Fusion' Arif Aiman-Bergson dalam liga perlu diterjemah padam ego Burriram United
Bagaimanapun, terdapat tanda tanya mengenai keberadaan bintang pasukan, Arif Aiman Hanapi bagi aksi berdepan skuad Harimau Kumbang kerana dia didapati tidak bersama-sama pasukan yang bergerak ke Pulau Pinang.
Hal itu disedari segelintir penyokong yang tertanya-tanya mengenai ketiadaan pemain sayap tersebut di laman media sosial memandangkan masing-masing cukup ternanti-nanti akan persembahannya.
"Tidak nampak kelibat AA42 (Arif Aiman)," kata Rosmawati Rafi.
"Kelibat Arif Aiman tiada, adakah untuk disiapkan bagi perlawanan Harimau Malaya menentang Nepal? Semoga berjaya JDT ketika berdepan Penang FC," ujar Lanie Saj.
"Ke mana pula Arif Aiman? Cedera atau ada masalah lain? Tidak nampak pula bersama pasukan kali ini," kata Malik Zam.
Sumareh antara pilihan dimiliki skuad Harimau Selatan untuk mengisi kekosongan yang mungkin ditinggalkan Arif Aiman. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Dalam semua kejohanan peringkat domestik dan Asia musim ini, Arif Aiman sudah diturunkan sebanyak 37 kali dengan 18 jaringan dan 14 bantuan gol berjaya dicetak sepanjang tempoh tersebut.
Jadi, terdapat kemungkinan pengendali JDT, Hector Bidoglio akan merehatkan pemain berusia 22 tahun terbabit bagi menurunkan pemain yang kurang meraih minit permainan.
Ini termasuk Mohamadou Sumareh yang akan beraksi buat skuad kebangsaan menentang Nepal pada penghujung Mac nanti dengan minit diraih ketika menentang skuad Harimau Kumbang dapat menjadi aksi pemanas badan buatnya.
Ketiadaan Arif Aiman juga bukanlah sesuatu yang merunsingkan buat JDT memandangkan benteng pertahanan Penang FC dalam Liga Super musim ini kelihatan begitu rapuh dengan 32 gol dilepaskan daripada 20 perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram