
PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Pemangku Sultan Johor (PSJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi isyarat yang Harimau Selatan akan berbelanja besar bagi persediaan mengharungi musim depan.
Perancangan itu didedahkan usai JDT tersingkir pada pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) kepada Buriram United pada Selasa.
Dalam satu kenyataan, Tunku Ismail berkata, JDT sudah mengenal pasti kelemahan yang ada dan akan melakukan pelaburan menyeluruh bagi menguatkan Harimau Selatan.
BACA LAGI: 'JDT-Selangor bersaudara', menang di SSI buka peluang bantu Gergasi Merah main di pentas ACLE
“Apa-apapun saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya keputusan malam tadi. Saya bertekad untuk meletakkan Johor di peta bola sepak dan bersaing dengan pasukan terbaik di Asia serta komited untuk terus membuat pelaburan bagi memperkukuh JDT di dalam dan luar padang.
"Kami telah mengenalpasti beberapa kelemahan di dalam pasukan dan sudahpun mempunyai perancangan baharu sejak beberapa bulan yang lepas. Kami sedang menunggu jendela perpindahan dibuka semula sebelum musim hadapan," tambah Tunku Ismail.
Tunku Ismail juga tidak dapat menafikan kekecewaannya apabila JDT tersingkir selepas berhempas-pulas mencari gol.
Ia lebih mengecewakan selepas gol minit akhir Jorge Obregon dibatalkan walaupun keputusan ofsaid dilihat meragukan.
"Ia sentiasa menjadi satu penghormatan dan keistimewaan bagi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk beraksi dalam kejohanan elit Asia. Saya berbangga dengan kelab ini yang berjuang habis-habisan untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.
"Namun, kami tidak bernasib baik untuk tersingkir dengan cara sebegini dalam perlawanan malam tadi, termasuk beberapa keputusan.
"Kepada Buriram United, tahniah dan semoga berjaya di pusingan seterusnya," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram