
KELAB elit Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan reputasi mereka sebagai kuasa besar bola sepak Asia Tenggara dengan aksi kompetitif dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024.
Berstatus sebagai satu-satunya kelab dari Malaysia yang bersaing di kejohanan kelab paling elit Asia, JDT mempamerkan semangat juang tinggi dalam setiap perlawanan dengan menentang beberapa pasukan gergasi dari Korea Selatan, Thailand, dan Jepun.
Walaupun perjalanan mereka di ACL kali ini tidak berakhir dengan kejayaan yang diharapkan, skuad Harimau Selatan tetap berjaya mencuri tumpuan dengan aksi berani, strategi taktikal yang matang dan semangat tidak mudah mengalah di pentas tertinggi Asia.
BACA LAGI: 'Malas bising-bising', TMJ sahkan Hector Hevel bintang warisan HM
BACA LAGI: Senasib Jimmy Raymond, 3 wira Piala AFF terlepas bertemu Nepal
Selain keupayaan mereka menyaingi kelab-kelab elit, kempen JDT kali ini turut dihiasi dengan beberapa detik panas yang mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan peminat bola sepak, baik di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.
Antara insiden yang paling mendapat perhatian ialah JDT menjadi mangsa teknologi video bantuan pengadil (VAR) apabila mengesahkan Jorge Obregon berada dalam kedudukan ofsaid, sekali gus menyaksikan Buriram United berjaya mara ke perlawanan suku akhir ACLE.
Dari drama di tepi padang hingga aksi memukau di atas rumput hijau, JDT terus membuktikan bahawa mereka bukan sekadar peserta dalam ACL, tetapi pencabar yang mampu memberikan saingan sengit kepada mana-mana pasukan.
Kali ini, Majoriti menyenaraikan tiga detik paling mencuri perhatian sepanjang kempen JDT di ACL 2024;
1) Natxo mengkritik pengadil
Salah satu insiden paling panas ketika kempen JDT berlangsung apabila Natxo Insa yang ditugaskan sebagai kapten pada aksi terbabit gagal mengawal perasaannya ketika ditemu bual para pengamal media selepas tewas 0-1 kepada Shandong Taishan FC di peringkat kumpulan.
"Menarik untuk siapa? Untuk penyokong? Untuk pengadil? Untuk kami? Untuk siapa?," soalnya kembali beberapa kali dengan keras.
"Shandong Taishan beraksi dengan 14 pemain. Jika anda perasan tentang pengadil, daripada 10 pemain, tiga atau empat orang pemain dilayangkan kad kuning (pada 30 minit awal permainan). Itu bukan sesuatu yang normal," katanya dalam nada keras.
Gara-gara komen tersebut, pemain berusia 38 tahun itu perlu melunaskan denda sebanyak AS$5,000 (RM22,000) kepada AFC atas kegagalannya mengawal perasaannya ketika sesi temu bual berkenaan.
2) Arif Aiman 'dicabul’ Theerathon
Selain kontroversi keputusan pengadil, satu lagi insiden menarik berlaku dalam perlawanan JDT menentang Buriram United apabila pemain pertahanan Thailand, Theerathon Bunmathan bertindak memicit kemaluan Arif Aiman Hanapi.
Tindakan 'nakal' kapten skuad kebangsaan Thailand tersebut menyebabkan Arif Aiman terbaring kesakitan dan semakan oleh VAR menyaksikan Theerathon diperintahkan keluar padang oleh pengadil perlawanan dari Arab Saudi.
Perbuatan Theerathon itu menyebabkan bek itu menerima denda daripada AFC sebanyak $AS2,000 (RM9,006) selain tambahan penggantungan dua perlawanan (keseluruhan tiga) atas tindakannya yang bertentangan dengan semangat kesukanan.
Ia menyaksikan pertahan berpengalaman berusia 35 tahun itu terlepas dua aksi Liga Timur ACLE menentang Ulsan HD dan Gwangju, masing-masing pada 12 dan 18 Februari lalu.
3) Arif Aiman 'ayam-ayamkan' penjaga gol Pohang
Selain kontroversi serta insiden provokasi, JDT turut mencipta detik-detik magis di atas padang, dan salah satunya adalah aksi penuh gaya bintang muda Harimau Selatan iaitu Arif Aiman ketika menentang Pohang Steelers.
Kelicikan Arif Aiman memperdayakan penjaga gol, Yun Pyeong-gook mendapat pujian penyokong kerana tidak terburu-buru dalam melakukan percubaan ke pintu gawang pelawat meskipun mempunyai peluang untuk membuat rembatan.
Pada babak kedua aksi di Iskandar Puteri, Pyeong-gook melakukan satu hantaran lemah sebelum disambar oleh penyerang sayap kebangsaan yang sempat melakukan acahan untuk satu jaringan berkualiti.
Gerakan itu mendapat pujian peminat bola sepak, bukan sahaja dalam kalangan penyokong JDT tetapi juga dari luar negara. Ramai yang percaya bahawa bintang muda Malaysia itu berpotensi untuk beraksi di peringkat lebih tinggi pada masa akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram