Bekas kapten Perak anggap Melaka sedia hadapi saingan Liga Super


  • Podium
  • Ahad, 16 Mac 2025

Skuad Hang Tuah menampilkan aksi konsisten sejak awal musim yang sekali gus membolehkan mereka menjuarai Liga A1 Semi Pro. — Facebook/AFL

HEBOH diperkatakan di media sosial ketika ini bahawa Melaka FC boleh membuat kemunculan semula dalam Liga Super selepas kali terakhir beraksi dalam divisyen teratas bola sepak tanah air adalah pada dua tahun lalu.

Ketika itu, mereka yang mengalami isu kewangan serius hanya menamatkan kempen di tangga ke-10 sebelum pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengambil keputusan menarik semula lesen penyertaan kelab.

Jadi, skuad Hang Tuah kemudian mengambil keputusan menyertai saingan anjuran Liga Bola Sepak Amatur (AFL) yang jelas memberi suntikan bagi mereka menampilkan persembahan lebih baik.

BACA LAGI: [VIDEO] Otai masih berbisa, Nasir Basharudin cipta gol roket bersama Melaka FC

BACA LAGI: Penyertaan kelab Liga A1 beri peluang 3 otai lokal serikan Piala Malaysia

Nasir merupakan salah seorang tonggak skuad Hang Tuah yang beraksi cemerlang sepanjang musim. Facebook/Melaka FC

Ini kerana dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim ini, Melaka FC yang berada di bawah kendalian K Devan berjaya muncul juara dengan kejayaan itu kembali menarik minat penyokong untuk hadir ke Stadium Hang Tuah.

Sokongan meyakinkan selain sumber kewangan lebih kukuh membuatkan ramai pihak beranggapan kelab tersebut sudah layak untuk kembali ke kancah Liga Super 2025/26.

Cadangan itu turut disokong tonggak pasukan, Nasir Basharudin yang beranggapan kejayaan bersama skuad Hang Jebat itu membuktikan mereka mampu beraksi di peringkat lebih tinggi selepas ini.

"Terpulang kepada pihak pengurusan sekiranya masih mahukan khidmat saya. Saya terbuka untuk bermain bersama Melaka. Sebenarnya, Melaka mampu bersaing di peringkat lebih tinggi. Ada jurang tetapi tidak terlalu jauh.

"Jika kita lihat dari awal musim, pasukan dalam kelompok enam teratas seperti PT Athletics dan Imigresen FC memang konsisten dan mencabar. Oleh itu, kita sedikit tertekan untuk mengekalkan kemenangan," katanya kepada Astro Arena.

Nasir menghabiskan tempoh sembilan tahun bersama skuad TBG. Facebook/Perak FC

Nasir sememangnya berpengalaman dalam kejohanan anjuran AFL kerana sebelum beraksi buat Melaka FC, dia pernah menyertai kelab-kelab amatur lain seperti Harini FT.

Tempoh diluangkan di liga tersebut sudah tentu membantunya meneruskan kecemerlangan di atas padang memandangkan dia juga pernah menghabiskan masa beraksi buat Perak, Terengganu dan Petaling Jaya (PJ) City FC.

Jelas pemain berusia 34 tahun tersebut lagi, kejayaan diraih bersama skuad Hang Tuah bermakna buat dirinya kerana ia sebaris dengan pencapaian ditempa ketika bersama skuad The Bos Gaurus (TBG).

"Kalau tanya saya sebelum ini, selepas kejayaan Piala Malaysia 2018, saya beranggapan tiada lagi piala buat saya kerana usia sudah meningkat. Tetapi, alhamdulillah dapat menamabah koleksi," katanya.

Anak kelahiran Taiping, Perak berkenaan pernah menikmati tempoh gemilang di negeri kelahirannya sehingga pernah diberi peranan kapten selepas pihak kejurulatihan kagum akan nilai kepimpinannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram