
DUA kelab berpengaruh tanah air iaitu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Sri Pahang FC dijangka tidak beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) pada musim hadapan susulan masalah dalaman yang dihadapi.
Perkara itu didedahkan oleh pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail dalam sesi soal jawab bersama penyokong Harimau Selatan di Pusat Latihan JDT, Padang Seri Gelam, Johor pada Rabu.
Susulan pendedahan itu, pemilik Kedah Darul Aman, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar memberitahu bahawa idea membubarkan pasukan tiada dalam perancangan pihak pengurusan malah berikrar untuk terus berusaha kekal di dalam saingan Liga M pada musim mendatang.
BACA LAGI: Bekas juara Piala Malaysia buat 'comeback' cabar kelab Liga Super?
BACA LAGI: Liga M makin hilang seri, skuad Tok Gajah, Sang Kenari ucap selamat tinggal
Ketika Kedah sudah memberikan penjelasan mengenai situasi tersebut, pihak pengurusan Sri Pahang pula masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubungan penarikan diri dari saingan domestik itu.
Kerancakan berita tersebut juga diselit dengan khabar angin Brunei DPMM akan menjadi pasukan jemputan untuk menghiasi semula saingan Liga M pada musim depan, sekali gus menggantikan Kedah dan Pahang.
Menurut sumber Majoriti sebelum ini, Brunei DPMM yang pernah beraksi di Liga Super dilaporkan sedia untuk kembali semula ke saingan tempatan dengan mereka bersedia meninggalkan Liga Perdana Singapura (SPL).
Meskipun tiada kenyataan rasmi dari Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Brunei DPMM namun ia sudah menerima pelbagai reaksi dari penyokong, ada yang menyambut baik tetapi terdapat juga kurang gemar dengan berita tersebut.
Pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail. — Facebook/JDT
"Brunei DPMM sama sekali tidak akan dapat menggantikan kemeriahan Kedah atau Pahang. Liga Super pasti lebih suram musim hadapan.
"Tiada lagi kemeriahan Stadium Kangar, Stadium Sultan Muhammad IV, Stadium Hang Jebat, Stadium Darul Makmur dan Stadium Darul Aman," kata penyokong tanah air, Piang Shankly.
"Kekayaan Brunei ini tahap orang Arab, tapi boleh ke nak lawan JDT. Kalau mereka sertai Liga Malaysia dan ikut jejak langkah JDT, mesti seronok liga," komen penyokong domestik, Samad Abu.
Brunei menerusi kelabnya iaitu Brunei DPMM akan kembali ke Liga Super? — Agensi
Sebagai rekod, Brunei DPMM pernah beraksi di Liga Malaysia selama tiga tahun daripada 2005 hingga 2008 bermula dengan menyertai Liga Perdana pada musim pertama sebelum ke Liga Super.
Pada musim 2005/2006, Brunei DPMM berjaya meraih tempat ketiga di Liga Super dan itu adalah pencapaian terbaik mereka dalam Liga Malaysia.
Rekod Brunei DPMM di Singapura boleh dikatakan baik apabila mereka memenangi liga sebanyak dua kali, tiga kali menjuarai Piala Liga Singapura dan muncul pemenang Piala Singapura pada 2018. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram