KAPTEN Terengganu FC, Muhammad Safawi Rasid menegaskan mentaliti Sang Penyu untuk memberikan 100 peratus dalam perlawanan Melaka FC di Stadium Hang Jebat, Melaka pada Sabtu (23 November) menjadi kelebihan buat pasukannya memenangi aksi pertama pusingan ke-16 Piala Malaysia itu.
"Pertama sekali saya nak bagi kredit untuk rakan sepasukan kerana memberikan persembahan 100 peratus walaupun kami (Terengganu) tahu main lawan pasukan Liga M3, tapi kita tidak memandang rendah.
"Sebab setiap perlawanan, kami mempunyai mentaliti akan bagi 100 peratus tidak kisah pasukan Liga M3, Liga Super ataupun lawan daripada divisyen kedua. Kita akan bagi yang terbaik.STA
"Kami sangat gembira untuk malam ini (Sabtu), sebab dapat tiga jaringan untuk perlawanan timbal balik nanti, apa-apa pun pasukan kena fokus untuk aksi kedua nanti di Terengganu," katanya selepas tamat perlawanan.
BACA LAGI: Import Melaka bangkit pamer kualiti, fans Terengganu 'berang' penyakit lama berulang
Pemain sayap Terengganu itu juga mengakui dua jaringan awal pada separuh masa pertama memberikan kelebihan buat Sang Penyu.
"Mungkin ia salah satu (jaringan awal), selepas 10 minit kami menjaringan dua gol.
"Tapi kami tetap teruskan untuk mendapatkan jaringan ketiga dan keempat, jadi keputusan hari ini 4-1 dan ia agak selesa untuk dibawa ke Terengganu nanti.
"Untuk perlawanan kedua nanti, kita akan main macam biasa. Saya rasa jurulatih akan main macam biasa juga, sebab bagi saya dan barisan kejurulatihan akan main macam malam ini.
"Sebab dalam bola sepak, apa-apa boleh jadi. Hanya fokus untuk perlawanan seterusnya," jelasnya lagi.
Manakala kapten Melaka FC, Mohamad Nasir Basharudin pula percaya pasukannya mampu memberi lebih saingan namun tidak mengikut perancangan ditetapkan.
"Pada saya, Melaka tidak bermain seperti yang dirancang. Mungkin saya tak tahu apa. Mungkin ada faktor-faktor lain.
"Tapi, kita tak bermain seperti yang sepatutnya kita bermain. Sebab saya yakin, kita boleh bersaing. Memberi saingan yang sengit sebenarnya kepada pasukan Terengganu.
"Mungkin malam ini bukan malam Melaka, tapi saya yakin untuk perlawanan seterusnya Melaka akan kembali," ujarnya.
Bekas pemain Perak itu juga percaya, Melaka mampu mencipta kejutan untuk menjaringkan lebih banyak gol di Terengganu nanti.
"Masih ada lubang yang boleh kita cari gol. Jadi, tak mustahil untuk kita dapatkan tiga gol, empat gol di Terengganu nanti.
"Pemain-pemain semua akan berjuang sampai ke wisel penamat untuk di Gong Badak nanti.
"Saya rasa pengalaman dalam permainan-permainan yang besar. Jadi, yang itu mungkin kita kurang bermain di situ. Tapi, benda itu boleh diperbaiki dan saya rasa boleh diatasi," tambahnya lagi.
Perlawanan tamat dengan keputusan 4-1 sekali gus Terengganu membawa bekalan selesa di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Terengganu pada 29 November nanti bagi perhitungan perlawanan timbal balik pusingan ke-16 Piala Malaysia 2024. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram