BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
DI antara mengekalkan Piala Cabaran MFL dan berkesudahan dalam kelompok lima teratas Liga Super, P. Maniam terkedu dalam menawarkan jawapan.
"Jika diberi pilihan, saya mahukan kedua-duanya tapi itu akan memberikan kami tekanan kerana sasaran seperti itu bukannya mudah," kongsi ketua jurulatih PDRM FC itu dengan Bola Pegun.
BACA LAGI: [VIDEO] Ong Kim Swee beri jaminan bawa import baharu, Fernando Forestieri jadi sasaran Persis Solo?
Sambil menyatakan pihak pengurusan The Cops tidak menetapkan matlamat terlalu tinggi dalam musim pertamanya mengendalikan pasukan, namun bekas ketua jurulatih PJ Rangers, PJ City dan Selangor itu mempunyai matlamat peribadi untuk mengangkat PDRM FC setinggi yang mampu digapai mereka.
Perbandingannya adalah dengan pencapaian di tangga kelapan musim lalu apabila The Cops menghimpun 37 mata daripada 11 menang 4 seri dan 11 kalah untuk mengatasi pasukan seperti Negeri Sembilan FC, Penang FC, Perak FC dan Kuching City FC.
Catatan 5 menang, 6 seri dan 5 kalah selepas 16 perlawanan musim ini turut mengekalkan PDRM FC antara pasukan memeranjat dengan antara lain kejayaan mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-1 di Stadium Selayang pada 31 Julai selain menundukkan Perak FC 3-2, KL City FC 2-1 dan Sabah FC 1-0 antara yang paling diingati.
Malah, Maniam boleh berbangga kerana The Cops adalah satu-satunya pasukan yang mampu mencemarkan rekod JDT untuk mencatat rekod 100 peratus -- satu-satunya perlawanan yang Harimau Selatan keciciran mata musim ini.
Ia menyaksikan JDT terpaksa bangkit daripada gol Shahrel Fikri Fauzi pada minit ke-22 untuk mengimbangi kedudukan menerusi Oscar Arribas pada minit ke-32.
Jaringan lewat Ifedayo Olusegun pada minit ke-80 pada 21 September pula mengirim pulang Sabah FC dengan kekalahan 0-1 yang merencatkan pendakian skuad Sang Badak itu untuk menghambat Selangor FC di tangga kedua ketika itu.
Penyerang kelahiran Nigeria berusia 33 tahun itu terus berperanan sebagai ayam tambatan pasukan dengan lapan gol musim ini.
Berbaki lapan perlawanan liga musim 2024/25 ini, Maniam menghela nafas panjang apabila memikirkan JDT (5 Feb), Sri Pahang FC (8 Mac), Sabah FC (5 April) dan Terengganu FC (12 April) adalah antara lawan besar yang perlu dihadapi.
"Kami akan berhadapan jadual sukar dengan pasukan-pasukan ini. Kedatangan tahun 2025 akan memberi kami ujian getir," katanya.
Ditanya apa yang disasarkannya, Maniam terdiam seketika sebelum menawarkan jawapan – tanda dia perlu berfikir kalau-kalau jawapannya akan memerangkap dirinya sendiri.
"PDRM berkesudahan di tangga kelapan musim lalu dan sudah tentu kami mahu memperbaiki kedudukan itu.
"Jika kami mampu kekalkan kedudukan itu, ia akan dianggap menggembirakan. Mengisi kelompok lima teratas pada akhir musim pula tentunya akan jadi pencapaian luar biasa,” katanya.
Tapi sebelum itu, tumpuannya ketika ini adalah kepada jadual terdekatnya ketika menjadi tuan rumah kepada Kuching City FC – pasukan berada tiga mata di bawah mereka di tangga keenam -- pada 11 Januari.
"Kami akan ketiadaan Ifedayo dan (Aremu) Timothy yang menjalani penggantungan untuk perlawanan ini. Ia akan sukar buat kami," katanya.
Dalam pada itu, PDRM FC juga memiliki jadual penting berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam separuh akhir Piala Cabaran secara timbal balik, didahului di tempat sendiri pada 19 Januari dan di Alor Setar pada 2 Februari.
Ini selepas dua jaringan Ifedayo (m-10 dan 90+2) membawa pasukan itu mara ke separuh akhir selepas menewaskan Melaka FC 2-1 di Stadium Hang Jebat, Sabtu lalu.
Kemenangan tipis pada aksi kedua suku akhir itu sudah cukup untuk PDRM mara selepas mengatasi lawan dengan agregat 4-3 berikutan terikat 2-2 pada suku akhir pertama.
The Cops di bawah kendalian Datuk Yunus Alif adalah juara bertahan edisi sulung Piala Cabaran musim lalu setelah menundukkan Kuching City FC dalam aksi final dengan keputusan agregat 4-1.
"Sudah tentu kami idamkan kejuaraan sekali tapi kami akan mengambilnya satu demi satu perlawanan. Untuk layak ke perlawanan akhir, kami perlu mengalahkan Kedah lebih dahulu.
"Kami tidak mahu meletakkan tekanan terlalu berat ke atas diri kami sendiri. Kita lihat apa yang akan berlaku nanti dan menyambungnya dari sana," katanya lagi.
Dengan Selangor FC diramalkan akan ke final daripada pertemuan separuh akhirnya dengan Penang FC, ia akan menarik untuk dinanti jika Maniam mampu memimpin pasukannya ke perlawanan kemuncak itu untuk berdepan bekas pasukannya sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram