Bukan perli sesiapa, Terengganu-Melaka dilabel 'anak jantan' beraksi dalam hujan lebat


  • Podium
  • Jumaat, 29 Nov 2024

Keputusan kekal 0-0 dalam aksi Terengganu menentang Melaka pada Jumaat. — Facebook/TFC

HUJAN lebat dan angin kencang di bumi Gong Badak, Terengganu menyaksikan Sang Penyu tidak berhasil mencetak gol pada aksi menentang Melaka FC dalam perlawanan timbal balik kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada Jumaat.

Kelebihan agregat 4-1 yang diraih di Stadium Hang Jebat di Melaka pada 23 November lalu memberi peluang kepada Sang Penyu untuk mara ke pusingan suku akhir Piala Malaysia.

Pada awalnya, Terengganu FC (TFC) jelas menunjukkan kualiti mereka sebagai pasukan Liga Super apabila menguasai permainan dan sentiasa bergerak ke hadapan bagi melakukan serangan ke kawasan gawang Melaka FC.

Bagaimanapun, dalam suasana padang yang sedikit becak, agak sukar untuk kedua-dua pasukan bermain dengan baik apabila segala pelan permainan menjadi serba tidak kena buat Terengganu mahupun Melaka FC.

BACA LAGI: 'Kalau dunia korporat, dah lama kena pecat', pakar bimbang Hamidin 'rosakkan' FAM jika terus kekal

BACA LAGI: Idolakan Nabil Rauf, pemain Shah Alam Titans tekad bantu pasukan juara Liga Super Bola Keranjang

Memasuki minit ke-34 perlawanan, Terengganu hampir mendapatkan gol pertama menerusi percubaan Safwan Mazlan namun kecemerlangan pertahanan Melaka FC berhasil menyelamatkan gawang mereka daripada dibolosi.

Insiden membabitkan penyerang sayap TFC, Engku Nur Shakir dan Ahmad Haziq Puad pada minit ke-37 hampir menyaksikan Melaka mendapatkan kad merah namun pengadil perlawanan, Mohd Amirul Izwan Yaacob hanya melayangkan kad kuning selepas pengesahan dari Video Bantuan Pengadil (VAR).

Ketiadaan jaringan pada babak pertama menyebabkan penyokong rata-ratanya sepakat ia berpunca daripada keadaan padang yang becak. Pada masa sama, 'pemain ke=12' kedua-dua pasukan memuji persembahan yang ditampilkan oleh TFC dan Melaka.

"Memang macam anak jantan main semasa hujan begini," kata penyokong Terengganu, Muhammad Irshad.

"Bukan perli siapa-siapa tapi Terengganu dan Melaka memang hebat main semasa hujan lebat begini," tambah penyokong TFC, Fariq Haqimi.

Babak kedua perlawanan bermula dengan lambat sehingga Amirul Izwan meninjau keadaan padang SSMZA terlebih dahulu sama ada permainan sesuai diteruskan atau sebaliknya sebelum meneruskan separuh masa kedua.

Bersambung selepas rehat, Safawi hampir meletakkan pasukan Pantai Timur itu di hadapan pada minit ke-48 tetapi rembatannya pantas ditepis penjaga gol Melaka, Ameerul Eqhwan Mohd Fauzi.

Meskipun pelbagai percubaan sudah dilakukan oleh anak-anak buah Badrul Afzan Razali namun tiada sebarang rezeki berpihak kepada meeka dan kedua-dua pasukan terikat sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Terengganu mara ke suku akhir dengan kemenangan agregat 4-1. Melaka yang juga pendahulu Liga A1 Semi-Pro akan meneruskan cabaran dalam saingan Piala Cabaran.

Peteh bakal berdepan cabaran Negeri Sembilan FC di peringkat suku akhir. Skuad Jang mara selepas meraih kemenangan agregat 4-2 ke atas PDRM FC dalam satu lagi aksi pusingan 16 terbaik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram