Bersinar terang tapi tonggak Kedah, Pahang, Terengganu masih kempunan sarung jersi negara


  • Podium
  • Sabtu, 15 Mac 2025

Dari kiri: Ibrahim, Hasbullah dan Shahrul Nizam masih belum melakar sebarang penampilan bersama skuad kebangsaan.

ISU dokumentasi menyaksikan skuad kebangsaan tidak dibarisi pemain warisan baharu dengan nama-nama kebiasaan menjadi pilihan Peter Cklamovski menjelang ujian pertamanya menentang Nepal dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027.

Nama-nama seperti Hector Hevel dan Jon Irazabal merupakan antara calon pemain baharu Harimau Malaya dengan kehadiran masing-masing hanya akan memperkuatkan pasukan negara.

Bagaimanapun, dengan terdapat hal berbangkit, penyokong masih perlu menunggu untuk menyaksikan kelibat mereka selain berpuas hati dengan gaya permainan nama-nama regular yang dipanggil.

BACA LAGI: Cklamovski kongsi sebab panggil Faisal Halim ke HM, 3 pemain warisan tiba minggu depan

BACA LAGI: Tiada aksi pemanas badan sebelum lawan Nepal, Cklamovski harap ultras, fans turun SSI beri sokongan

Tiada pemain baharu dipanggil dalam senarai 27 pemain bagi menentang Nepal. Facebook/FAM

Namun, ada juga berpendapat skuad kebangsaan kali ini boleh dimeriahkan lagi sekiranya pemain yang tidak pernah disenaraikan diberi peluang oleh Cklamovski serta barisan kejurulatihannya.

Ini kerana terdapat lambakan anak jati tempatan berkualiti sepanjang kempen 2024/25, tetapi belum berpeluang menabur bakti buat Harimau Malaya malah terus disisihkan.

Berdasarkan pemerhatian, tonggak Terengganu FC, Sri Pahang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC merupakan antara mereka yang wajar dipanggil kerana mampu membawa nilai tambah tersendiri.

1. Shahrul Nizam Ros Hasni

Sehingga hari ini, ramai terus tertanya-tanya mengenai keengganan skuad kebangsaan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memberi peluang buat bek tengah skuad Sang Penyu, Shahrul Nizam Ros Hasni.

Dia yang beraksi cemerlang sepanjang tempoh lima tahun lalu sesuai diangkat sebagai pemain pertahanan tempatan terbaik dengan hal itu bukan sahaja diakui peminat Terengganu FC, malah penyokong negara keseluruhannya.

Shahrul Nizam merupakan salah seorang bek tengah tempatan paling konsisten. Facebook/Terengganu FC

Selain cemerlang dari segi individu, bek kelahiran Kelantan itu juga memiliki nilai kepimpinan cukup baik kerana berkali-kali diberikan lilitan tangan kapten di peringkat kelab.

Bagaimanapun, setakat ini, Shahrul Nizam yang turut dikenali sebagai Nijey masih menunggu untuk meraih kaps antarabangsa pertama kerana pemain seperti Harith Haiqal, Safwan Mazlan dan Shahrul Saad menjadi pilihan.

Untuk rekod, kali terakhir pemain Terengganu FC itu menerima panggilan skuad kebangsaan adalah pada 2021, namun dia tidak dapat hadir atas sebab peribadi.

2. Hasbullah Abu Bakar

Kemelut kewangan serius dialami KDA FC sejak tiga tahun lalu menyebabkan rata-rata pemain gagal memberi persembahan terbaik yang sekali gus meranapkan peluang untuk menyertai kem Harimau Malaya.

Namun, di sebalik episod gelap menyelebungi pasukan, segelintir daripada pemain masih membawa sinar tersendiri, termasuk Hasbullah Abu Bakar yang beraksi cemerlang sebagai pemain tengah.

Hasbullah sesuai dipanggil melihat kepada persembahannya bersama skuad Sang Kenari. Facebook/KDA FC

Rekrut baharu dari Negeri Sembilan FC itu pada awalnya tidak dijangka mampu membawa kelainan dalam pasukan memandangkan sudah terdapat ramai pilihan lain di posisi itu.

Tetapi, pemain berusia 30 tahun tersebut tidak berdepan masalah untuk membuktikan nilainya sebagai seorang yang boleh mematahkan serangan lawan selain memanfaatkan peluang dimiliki.

Sumbangan bermakna itu bagaimanapun tidak begitu disedari pihak kejurulatihan Harimau Malaya yang meletakkan pemain lain dalam senarai dengan Hasbullah terpaksa terus menunggu untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan.

3. Ibrahim Manusi

Nasib Sri Pahang FC musim ini seakan-akan sama dengan KDA FC yang difahamkan mengalami isu gaji serius sehingga terdapat kemungkinan pasukan Pantai Timur itu akan dibubarkan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, terdapat segelintir bintang dalam skuad Tok Gajah yang masih menunjukkan prestasi cemerlang dalam membantu mereka melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia.

Isu kewangan tidak menghalang Ibrahim daripada mempamerkan aksi cemerlang. Facebook/Sri Pahang FC

Ini termasuk 'ubi muda' pasukan, Ibrahim Manusi yang ligat sebagai seorang pemain tengah, lebih-lebih lagi dalam mengekang pergerakan pihak lawan dengan pintasan dan asakan keras dilakukannya.

Sumbangan itu menyaksikan nama pemain berusia 23 tahun berkenaan mula meniti bibir penyokong Sri Pahang FC yang percaya jeneral Tok Gajah itu mampu melangkah ke satu tahap baharu.

Tetapi, bagi Cklamovski, Ibrahim masih belum bersedia untuk beraksi buat skuad kebangsaan dengan nama-nama regular seperti Nooa Laine serta Syamer Kutty menjadi pilihannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram