Cklamovski kongsi sebab panggil Faisal Halim ke HM, 3 pemain warisan tiba minggu depan


  • Podium
  • Khamis, 13 Mac 2025

Ia adalah panggilan Harimau Malaya pertama Faisal sejak perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Oman pada Mac tahun lalu. — Facebook/SelangorFC

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan 27 senarai pemain Harimau Malaya menjelang perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 25 Mac.

Dalam senarai 27 pemain yang diumumkan itu, tiada nama bintang warisan baharu akan membuat kemunculan, sebaliknya beberapa tonggak berpengalaman dipanggil semua untuk membela nasib negara.

Mohamadou Sumareh dan Natxo Insa antara pemain campuran yang membuat kemunculan untuk membantu Harimau Malaya pada aksi menentang Nepal, selain kemunculan semula penyerang sensasi kebangsaan,Faisal Halim yang sebelum ini tersisih angkara kontroversi simbahan asid pada Mei 2024. 

BACA LAGI: Terlepas peluang debut di SNBJ, Cklamovski harap ultras, fans turun SSI beri sokongan

BACA LAGI: Terlalu terdesak buru bintang warisan? Ferdy Druijf termasuk senarai 4 bintang Eropah nafi berdarah Malaysia

Bercakap mengenai pemilihan Faisal walaupun selepas hampir setahun tidak menyarung jersi skuad kebangsaan, Peter Cklamovski selaku pengendali Harimau Malaya melihat penyerang sayap itu mempunyai ciri yang diperlukan dalam sesebuah pasukan. 

"Selepas melihat profil para pemain, dia mempunyai profil pemain yang mahu terus bergerak ke hadapan. Dia seorang pemain yang positif sangat mengujakan untuk dilihat. Pemain sebegitu yang dimahukan. 

"Tapi kami akan melakukannya sebagai sebuah pasukan, bukan dari seorang pemain. Kami tidak

bergantung kepada seorang pemain. Kekuatan kami adalah 11 pemain yang kuat dalam serangan, pertahanan, permainan dan semuanya.  

"Saya bercakap dengan Mickey minggu lepas, saya mahu melihat semangatnya. Dalam situasi ini, saya melihat dia seorang pemain yang bersemangat dan bersedia untuk menyarung jersi Malaysia dan membuat orang Malaysia bangga," katanya. 

Cklamovski ditemui bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor dalam Sidang Media 27 Pemain Skuad Harimau Malaya yang dipanggil menentang Nepal. 

Sementara itu, Cklamovski juga mengesahkan bahawa seramai tiga pemain warisan bakal tiba di Malaysia minggu hadapan dengan difahamkan, proses bagi mendaftarkan sedang berada di peringkat terakhir. 

"Proses untuk pemain warisan baharu di peringkat akhir, saya rasa berita yang positif akan diumumkan pada minggu depan. Siapa pun yang bermain di atas padang, mereka adalah pemain Malaysia.

"Saya difahamkan kertas kerja di peringkat akhir dan mungkin pasukan kebangsaan akan membuat pengumuman mungkin minggu depan," jelasnya yang akan memulakan kem latihan pusat pertama pada Isnin ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram