Tiada aksi pemanas badan sebelum lawan Nepal, Cklamovski harap ultras, fans turun SSI beri sokongan


  • Podium
  • Khamis, 13 Mac 2025

Stadium Sultan Ibrahim akan menjadi gelanggang sementara pertemuan menarik antara Harimau Malaya dan Nepal.

PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski berharap agar penyokong skuad kebangsaan tetap hadir memberi sokongan kepada skuad bimbingannya walaupun tidak bermain di gelanggang rasmi, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur.

Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor diumumkan menjadi gelanggang sementara untuk perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 25 Mac atas faktor tertentu.

Cklamovski berkata, pemilihan venue bukanlah perkara utama tetapi sokongan padu daripada penyokong kebangsaan amat diperlukan bagi menunjukkan bahawa Malaysia masih mempunyai bola sepak yang cemerlang.

BACA LAGI: Cklamovski kongsi sebab panggil Faisal Halim ke HM, 3 pemain warisan tiba minggu depan

BACA LAGI: Terlalu terdesak buru bintang warisan? Ferdy Druijf termasuk senarai 4 bintang Eropah nafi berdarah Malaysia

"Saya harap penyokong boleh beri sokongan di mana-mana sahaja kita bermain sama ada di Johor atau di Kuala Lumpur, untuk saya ia ada kem yang kami perlu buat baik-baik.

"Walau di mana kita berada, buat Malaysia bangga. saya harap semua penyokong beri sokongan tidak terhingga kepada penyokong. Pastikan Asia tahu yang Malaysia ada bola sepak yang baik," katanya.

Cklamovski ditemui bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor dalam Sidang Media 27 Pemain Skuad Harimau Malaya yang dipanggil menentang Nepal pada 25 Mac ini. 

Dalam pada itu, Cklamovski tidak merancang untuk mengatur sebarang perlawanan persahabatan sepanjang tempoh kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan bermula pada 17 Mac ini walaupun mempunyai dua minggu untuk menyiapkan pasukan. 

“Kami tidak merancang itu (mengaturkan perlawanan persahabatan) dalam kem ini, sebaliknya kami akan menggunakan masa di padang untuk latihan dan sesi dalaman. Konsep latihan akan menjadi penting bagi kami.

"Bagaimanapun akan ada perlawanan latihan tertutup antara pemain skuad sendiri bagi memastikan semua konsep latihan diaplikasikan dengan baik sebelum berdepan Nepal," jelasnya. 

Dalam senarai 27 pemain yang dipanggil, Mohamadou Sumareh, Natxo Insa dan kemunculan semula penyerang sensasi kebangsaan, Faisal Halim yang sebelum ini tersisih angkara kontroversi simbahan asid pada Mei 2024 antara menarik perhatian. 

Skuad Harimau Malaya akan berlatih selama lapan hari di Johor Bahru sebelum aksi pembukaan menentang Nepal pada 25 Mac 2025. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram