'Ada Malaysia bos', 3 permainan video saksikan kemunculan Harimau Malaya


  • Podium
  • Ahad, 16 Mac 2025

eFootball merupakan permainan video yang menampilkan skuad Harimau Malaya di dalamnya.

DALAM bola sepak, suka atau tidak, kita perlu terima hakikat yang nama Malaysia tidaklah begitu besar di peringkat antarabangsa.

Disebabkan itu, ia agak sukar untuk melihat nama Malaysia terselit dalam permainan video bola sepak yang dimainkan oleh seluruh dunia lebih-lebih lagi dengan menggunakan jersi, logo dan nama pemain sebenar.

Akan tetapi, sejak beberapa tahun kita dapat saksikan nama Malaysia bersama-sama kuasa bola sepak lain dan diraikan dalam permainan video terulung.

BACA LAGI: 'Darren Lok lebih layak berbanding Sumareh'

BACA LAGI: 'Faisal okey, tapi Sumareh bila last main bola?'  

FIFA World Cup 2010

Setiap empat tahun, dunia meraikan kejohanan Piala Dunia dengan pengeluar permainan, EA Sports akan menghasilkan siri FIFA World Cup.

Pada edisi 2010, ia menjadi sejarah apabila nama Malaysia terselit dalam permainan tersebut sebagai sebahagian daripada pasukan yang boleh dimain (playable) dalam usaha meraih kejuaraan dunia di Afrika Selatan.

Malaysia pernah membuat kemunculan dalam FIFA World Cup 2010 keluaran EA Sports.

Ketika itu, EA Sports menyenaraikan 199 negara yang terlibat dalam kelayakan Piala Dunia 2010 termasuklah Malaysia dalam permainan tersebut.

Disebabkan itu, pemain boleh menggunakan Harimau Malaya dengan pengulas terkenal, Clive Tyldesley di dalam permainan video tersebut menyebut nama pemain negara seperti Aidil Zafuan Abdul Radzak.

FIFA Online 3

Selain daripada FIFA World Cup 2010, bola sepak Malaysia turut diraikan dalam sebuah permainan bola sepak dalam talian iaitu FIFA Online 3 (FO3).

Turut dibangunkan oleh EA Sports bersama Garena, FO3 pernah mencipta sensasi di Asia terutamanya Asia Tenggara dengan ia turut mempunyai server khas buat Malaysia.

Wajah-wajah legenda negara di FIFA Online 3.

Ketika itu, FO3 turut meraikan bola sepak Malaysia walaupun tidak menyelitkan skuad Harimau Malaya, tetapi mereka memasukkan tiga legenda negara sebagai pemain istimewa yang boleh diraih dalam masa terhad.

Tiga pemain tersebut adalah Datuk Dollah Salleh, Datuk Ong Kim Swee dan mendiang Datuk Shebby Singh.

eFootball

Permainan video dalam talian keluaran Konami itu merupakan jenama terkini meraikan bola sepak Malaysia serta Harimau Malaya.

Terima kasih atas kerjasama bersama-sama Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Konami menyenaraikan Malaysia sebagai sebahagian daripada kemas kini mereka untuk Piala Asia 2023.

Safee Sali turut diraikan dalam eFootball.

Malah, pemain-pemain seperti Arif Aiman dan Faisal Halim antara yang mempunyai wajah sebenar berbanding generic face bagi majoriti pemain.

Selain Harimau Malaya, kelab seperti Johor Darul Ta'zim dan Selangor FC turut tersenarai kerana penyertaan mereka dalam kejohanan anjuran AFC iaitu Liga Juara-Juara AFC Elit dan Liga Juara-Juara AFC 2. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram