
KIRA-KIRA hampir setahun selepas menjadi mangsa simbahan asid, Faisal Halim kembali diletakkan dalam senarai pemain untuk berdepan Nepal dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027.
Penyerang sayap Selangor FC itu dipanggil ketua jurulatih, Peter Cklamovski selepas dia meledak hatrik ketika mencatat kemenangan Liga Super ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC.
Jelas pengendali kelahiran Australia tersebut, keputusan itu dibuat selepas keyakinan dipamerkan pemenang Anugerah Gol Terbaik Piala Asia 2024 berkenaan mencuri tumpuan.
BACA LAGI: 'Faisal okey, tapi Sumareh bila last main bola?'
BACA LAGI: Jika tidak dipanggil Harimau Malaya, saya tak kecewa — Faisal Halim
Faisal Halim diletakkan dalam senarai 27 pemain yang akan menentang Nepal. — Facebook/FAM
Selain itu, karakter Faisal yang sering menampilkan sikap positif akan membantu skuad kebangsaan, terutamanya di bilik persalinan dalam misi meranapkan Nepal pada 25 Mac depan.
Kepercayaan diberikan Cklamovski itu sudah tentu membakar semangat pemain berusia 27 tahun berkenaan untuk memberi aksi terbaik selepas sudah hampir setahun tidak meraih panggilan ke dalam pasukan kebangsaan.
"Syukur Alhamdulillah, dapat menerima panggilan untuk menyertai skuad kebangsaan buat pertama kali sejak mengalami insiden sebelum ini. Hampir setahan tidak bersama skuad kebangsaan. Saya sangat terharu, sudah tentu teruja untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.
"Ini adalah permulaan dan semangat yang baru untuk saya dalam kancah bola sepak untuk membantu pasukan kebangsaan. Ini juga peluang terbuka untuk saya dapatkan semula (prestasi) seperti sedia kala," katanya.
Gandingan Faisal (kiri) dan Arif Aiman akan kembali disaksikan penyokong.
Sebelum menjadi mangsa simbahan asid, Faisal merupakan tonggak utama Harimau Malaya dengan gandingannya bersama Arif Aiman Hanapi digeruni setiap pasukan mereka hadapi.
Kehilangannya sepanjang tempoh pemulihan amat dirasai kerana prestasi pasukan negara jelas terumbang-ambing, termasuk ketika mereka gagal melayakkan diri ke pusingan ketiga Piala Dunia 2026.
Tidak cukup dengan itu, kelincahan serta kualiti penyudah dimiliki Faisal amat dirindui kerana pemain lain seperti Akhyar Rashid dan Fazrul Amir Zaman yang diletakkan tidak memiliki kebolehan sepertinya.
Jadi, dengan kepulangan Faisal dalam Harimau Malaya, ia akan menjadi tonik tambahan untuk memulakan kempen kelayakan kali ini dengan langkah kanan.
"Apabila jurulatih baharu datang untuk membawa pasukan kebangsaan, sudah tentu pemain tertunggu-tunggu apa yang akan diterapkan, apa yang akan ditunjuk ajar dan apa yang kita perlu belajar perkara baru dalam bola sepak. Ia baik untuk pasukan dan pemain," katanya.
Dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027, skuad kebangsaan diundi di samping Nepal, Vietnam dan Laos dalam Kumpulan F dengan hanya pasukan teratas akan melangkah ke pusingan seterusnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram