Jika tidak dipanggil Harimau Malaya, saya tak kecewa — Faisal Halim


  • Podium
  • Selasa, 11 Mac 2025

Faisal diharapkan dapat meneruskan sentuhan berbisanya buat skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC

KECEMERLANGAN Faisal Halim mencetak hatrik untuk Selangor FC pastinya menarik perhatian jurulatih baharu Harimau Malaya, Peter Cklamovski, tetapi penyerang sayap berkenaan mengambil langkah demi langkah.

Penantian bintang Selangor FC, Faisal Halim untuk mencetak gol dalam tempoh hampir setahun berakhir selepas dia meledak gol ketika pasukannya menang 7-0 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada Sabtu.

Lebih membanggakan lagi, dia yang menjadi mangsa simbahan asid itu berjaya mencetak hatrik dalam perlawanan berkenaan yang turut menyaksikan skuad Gergasi Merah melangkah ke pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two buat dua musim berturut-turut.

BACA LAGI: Faisal Halim abadikan hatrik penuh emosi khas buat anak

BACA LAGI: 'Siuuu' lepas geram Faisal Halim pastikan Selangor FC ke Asia dengan moral tertinggi

“Sudah hampir setahun saya menyarung warna kebangsaan. Saya merindui menjadi sebahagian daripada pasukan tetapi saya tidak mempunyai jangkaan tinggi untuk berada dalam pasukan kebangsaan dalam masa terdekat. 

“Jika diberi peluang, saya akan melakukan yang terbaik. Jika saya tidak berada di dalamnya, saya tidak akan kecewa. Sebaliknya, ia hanya akan mendorong saya untuk melakukan yang lebih baik untuk kelab saya dan juga bekerja pada permainan dan keyakinan saya.  

“Menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan bukanlah tugas yang mudah. Ia adalah satu cabaran yang besar," katanya. 

Kali terakhir Faisal menyarung jersi Malaysia dalam Piala Asia AFC di Qatar pada awal tahun lalu dengan dia mencipta detik gemilang apabila menjaringkan gol terbaik kejohanan dalam keputusan seri 3-3 menentang Korea Selatan. 

Namun, kehidupannya berubah apabila pemain berusia 27 tahun berkenaan menjadi mangsa serangan asid pada Mei tahun lalu, yang memaksanya berehat daripada bola sepak hampir tiga bulan.

Lebih membimbangkan apabila kecederaan serius yang dialaminya memerlukan prosedur cantuman kulit pada wajah dan lengan kiri hingga menyebabkan ramai yang meramalkan kariernya mungkin berakhir. 

Selain kesakitan fizikal, pemain yang berasal dari Mengkuang Titi di Pulau Pinang itu turut berdepan kesan psikologi akibat insiden berkenaan, yang memberi impak besar bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga keluarganya.

Namun, semangat juang bekas pemain Terengganu itu tidak pernah luntur. Pemain yang berketinggian 1.58 meter itu bangkit daripada ujian getir dan kembali ke padang pada Ogos lalu.

Faisal mengalami kecederaan selepas disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara pada Mei 2024. — Facebook/Orang Awam

Ketika ditemui selepas perlawanan menentang Kelantan, Faisal menyifatkan aksinya sebagai satu permulaan baharu.

“Saya sudah lama tidak menjaringkan gol, dan melakukannya pada hari ketujuh Ramadan, memakai jersi nombor tujuh, serta pasukan menjaringkan tujuh gol. Ia sungguh bermakna. 

"Saya percaya kali terakhir saya menjaringkan gol lebih setahun lalu. Apa yang penting bukanlah matlamat yang ia kembali dan lakukan.

“Ini adalah permulaan baharu. Bola sepak adalah kehidupan dan semangat saya, ia adalah sebahagian daripada saya, jadi saya tidak boleh melepaskannya. Walaupun saya tidak mendapat permulaan yang tetap, saya tetap bekerja keras setiap hari," jelasnya. 

Dalam pada itu, Faisal turut menzahirkan penghargaan kepada mereka yang sentiasa menyokongnya sepanjang proses pemulihannya.

“Rakan sepasukan saya menyokong saya, sama ada dalam latihan atau hari perlawanan, dan mereka mendorong saya sebagai pemain. Saya tidak cukup berterima kasih kepada mereka," tambahnya. 

Dengan semua sokongan di belakangnya, tidak hairanlah untuk melihat Faisal menyarung jersi warna kuning dan hitam pasukan kebangsaan Malaysia tidak lama lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram