
PEMILIK kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail memberi bayangan dua pasukan ternama, Sri Pahang dan Kedah Darul Aman (KDA) bakal tidak lagi beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Beliau yang juga Pemangku Sultan Johor turut meluahkan rasa sedih dengan perkembangan berkenaan kerana menyifatkan KDA FC dan Tok Gajah memiliki sejarah hebat dalam Liga M sebelum ini.
Bagaimanapun, Tunku Ismail masih berharap pengurusan Sri Pahang dan Sang Kenari dapat mencari jalan untuk menyelesaikan kemelut kewangan serta kekal untuk memeriahkan saingan domestik pada musim depan.
BACA LAGI: [VIDEO] Bukan buat benda bomoh, pemilik Buriram United hanya berdoa sebelum tewaskan JDT
Susulan pendedahan itu, pemilik KDA FC iaitu Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar memberitahu bahawa idea membubarkan pasukan tiada dalam perancangan pihak pengurusan malah berikrar untuk terus berusaha kekal di dalam saingan Liga M pada musim mendatang.
Perkembangan terbabit juga menarik perharian bekas ketua pasukan Kedah, Syazwan Zainon mengakui terkejut dengan khabar berita tersebut dan pada masa sama mengharapkan agar penyokong terus memberikan sokongan untuk tiga baki perlawanan lagi.
"Reaksi saya memang terkejut bila dengar yang Kedah tidak boleh beraksi dalam Liga Super. Tetapi yang boleh saya cakap, semoga dipermudahkan lah kalau urusan bagi pasukan Kedah. Mungkin ramai penyokong juga masih terkejut dengan berita ini.
"Saya cuma boleh harap yang penyokong Kedah berikan sokongan untuk bagi tiga perlawanan ini dapat penuhkan stadium dan bagi sokongan sehabis baik. Sokongan penyokong di stadium adi mungkin dengan berbaki tiga game ni dapat bagi sokongan moral kepada pasukan," katanya kepada Majoriti.
Syazwan menyarung jersi Kedah dari 2013-2018 dan 2021-2023. — Facebook/KDAFC
Sementara itu, penyokong Sri Pahang juga rata-ratanya sudah menerima khabar berita berkenaan dengan mereka sudah bersedia untuk melihat aksi terakhir Sri Pahang iaitu pentas final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 12 April ini.
Berbeza dengan Kedah, pihak pengurusan Tok Gajah masih tidak memberi sebarang kenyataan berhubung keadaan terkini mereka dan yang ada hanyalah luahan-luahan para pemain membanjiri media sosial.
"Apa pun yang anda lakukan, buat dengan bergaya. Jadikan ini aksi terakhir paling epik. Sri Pahang dikatakan bubar selepas final piala Malaysia. Tiada stadium, tidur petang, gaji sangkut pun masih ke final. Bola sepak sebenar," kata penyokong Tok Gajah, Faiz Azizan.
"Kenangan terakhir tahun ini adalah final Piala Malaysia. Selamat berjaya Sri Pahang untuk musim yang mendatang. Sokong Pahang Rangers saja lah," komen penyokong Sri Pahang, Hasrul Hayyun Hassan.
Di kala ia mungkin bakal menjadi aksi terakhir buat Sri Pahang, pentas final itu pula boleh mengubat duka penyokong Harimau Selatan yang baru kecewa apabila impian untuk melakar sejarah mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) tidak kesampaian.
Tok Gajah dikhabarkan akan meninggalkan Liga M pada musim depan. — Facebook/SriPahang
Pasukan bimbingan Hector Bidoglio itu disingkirkan wakil Thailand, Buriram United 0-1 pada aksi kedua timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 11 Mac lepas.
Keputusan itu bukan hanya menyedihkan penyokong JDT, malah pengikut bola sepak tanah air juga secara umumnya kecewa tidak dapat melihat wakil Malaysia itu mencipta nama di Riyadh, Arab Saudi.
Lebih menyedihkan apabila perlawanan otu dicemari beberapa insiden pengadilan, termasuk keputusan yang membatalkan jaringan Jorge Obregon yang kelihatan berada dalam kedudukan sah, namun pandangan sebaliknya diberikan pegawai video bantuan pengadil (VAR). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram