'Followers' naik mendadak, kehadiran Hector Hevel direstui fans Harimau Malaya


  • Podium
  • Jumaat, 14 Mac 2025

Pengalaman Hector beraksi di Asia dan Eropah diharapkan mampu membawa nilai tambah dalam Harimau Malaya pada masa akan datang.

MESKIPUN belum diumum Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), laporan awal mengatakan pemain tengah Portimonense FC, Hector Hevel sudah rasmi menjadi bintang warisan baharu negara.

Perkara tersebut dikongsikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi hantaran di Instastory memaparkan pemain itu berada di samping pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski.

Pengumuman tidak rasmi itu turut disertakan kapsyen '31 Januari semua dah lapor, cuma menunggu kerajaan sahaja' yang memberi gambaran Hevel akan menyertai skuad kebangsaan.

BACA LAGI: 'Malas bising-bising', TMJ sahkan Hector Hevel bintang warisan HM

BACA LAGI: Tak usah tunggu minggu depan, kelab Portugal umum bintang warisan baharu HM

Hector (kiri) lengkap berpakaian Baju Melayu sambil memegang jersi Harimau Malaya.

Sekiranya pemain berusia 28 tahun tersebut sah menyertai Harimau Malaya, ia akan membawa nilai baharu buat pasukan yang akan berentap dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 itu.

Malah, penyokong skuad kebangsaan juga sudah tidak sabar untuk melihat kehadirannya kerana masing-masing sudah bertindak mengikuti pemain itu di laman Instagram.

Difahamkan, sebelum pengumuman awal dibuat Tunku Ismail, pengikut Hector hanya mencecah kira-kira 2,000 orang memandangkan dia tidaklah begitu dikenali melihat kepada pasukannya ketika ini.

Namun, kira-kira tiga jam selepas berita itu tersebar, 'follower' pemain tersebut sudah melepasi angka 6,500 yang menunjukkan satu peningkatan mendadak.

Selain itu, dalam hantaran terbaru Hector di laman media sosial berkenaan, penyokong skuad kebangsaan bertindak meninggalkan komen dengan masing-masing amat teruja dengannya.

"Selamat datang ke Malaysia, bro. Jumpa anda tidak lama lagi," kata user66jkkksi.

"Selamat datang bro, teruja untuk saksikan anda beraksi buat Malaysia. Tahniah!" kata Mangos Kun.

"Selamat datang ke Harimau Malaya wahai sahabat. Harapnya anda menikmati tempoh di sini," kata Channeryk.

Untuk rekod, Hevel pernah beraksi buat beberapa pasukan sepanjang karier, termasuk ADO Den Haag di Belanda serta pasukan dari China, Guangxi Pingguo FC.

Pengalaman luas serta pendedahan diterima sekitar Eropah diharapkan menjadikan pemain warisan itu sebagai tonggak baharu Harimau Malaya dalam misi menjadi antara pasukan terbaik sekitar Asia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram