
PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski membuat kejutan apabila memanggil beberapa pemain yang sudah sekian lama tidak menyarung jersi Harimau Malaya untuk beraksi menentang Nepal bagi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027.
Menerusi senarai 27 pemain yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat kejutan memanggil semula beberapa pemain seperti Faisal Halim, Mohamadou Sumareh, Nazmi Faiz, Shahrul Saad dan Quentin Cheng.
Faisal kembali tersenarai buat kali pertama sejak aksi menentang Oman pada Mac 2024 selepas tersisih angkara kontroversi simbahan asid pada Mei 2024. Nazmi dipanggil selepas kali terakhir mewakili Harimau Malaya pada September 2022.
BACA LAGI: Cklamovski kongsi sebab panggil Faisal Halim ke HM, 3 pemain warisan tiba minggu depan
BACA LAGI: Terlepas peluang debut di SNBJ, Cklamovski harap ultras, fans turun SSI beri sokongan
Pemain naturalisasi, Sumareh turut tersenarai selepas membawa nama negara di pentas Piala Asia 2023. Shahrul dan Quentin masing-masing kembali buat kali pertama sejak Mac 2024 dan Oktober 2023.
Dari lima pemain berkenaan, ramai mengkhuatirkan Faisal dan Sumareh untuk menyarung semula jersi Harimau Malaya lagi-lagi dua pemain itu akan bertugas untuk jentera serangan skuad kebangsaan nanti.
Kehadiran semula dua pemain sayap itu juga menarik perhatian jurulatih legenda Liga Malaysia (Liga M), Irfan Bakti Abu Salim dengan beliau agak terkejut melihat nama Sumareh dalam senarai berkenaan.
Menurutnya, nama Faisal tidak mengejutkan kerana Cklamovski kemungkinan melihat peningkatan pemain berusia 27 tahun bersama Selangor lagi-lagi dia meledak hatrik dalam kemenangan 7-0 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC, baru-baru ini.
"Mungkin mereka pilih berdasarkan kepada aksi Liga Super Faisal sebab baru-baru ini, dia meningkat kan. Tetapi kalau Sumareh itu kita persoalkan juga bila kali terakhir dia main bola. Adakah kita tiada pilihan lain.
"Dia (Cklamovski) ada melihat beberapa perlawanan liga tapi macam mana dia lihat Sumareh? Di posisi Sumareh itu pun ada Arif Aiman, jadi rasanya tidak usah panggil Sumareh," katanya kepada Majoriti.
Untuk rekod, Sumareh hanya beraksi dalam sembilan perlawanan musim ini dengan mengumpul 180 minit permainan sahaja bersama JDT. Kemenangan 2-0 ke atas Perak pada 24 Februari lalu merupakan aksi terkini Sumareh bermain.
Sumareh hanya tampil dalam sembilan perlawanan musim ini bersama JDT. Facebook/JDT
Mengulas lanjut mengenai senarai berkenaan, Irfan Bakti optimis bahawa tiada masalah untuk Harimau Malaya mendapatkan kemenangan ke atas pasukan yang kini menghuni ranking 175 dunia itu, Nepal.
"Saya rasa untuk mengatasi Nepal itu tidak ada masalah. Tapi untuk mengatasi pasukan yang lebih kuat daripada kita itu sedikit masalah. Nepal pun berada di bawah kita kan, jadi ita boleh menang dengan Nepal.
"Tetapi apabila berjumpa dengan pasukan lebih kuat seperti Indonesia, Vietnam dan Singapura, risau ada sedikit masalah dengan perubahan taktikal," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram