
PUNAH harapan penyokong bola sepak tanah air selepas pemain yang dicanang bakal menjadi penyerang baharu Harimau Malaya, Ferdy Druijf tampil menafikan memiliki pertalian darah dengan Malaysia.
Menerusi satu wawancara bersama ESPN Netherlands, Druijf langsung tidak mengetahui perkara berkenaan, bahkan kedua-dua orang tuanya juga tidak tahu mengenai pertalian darah dengan Malaysia menerusi neneknya.
Perkara berkenaan turut mendapat perhatian Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail yang mencetus revolusi Harimau Malaya apabila tampil menasihati para peminat bola sepak tanah air untuk terus bersabar.
BACA LAGI: 'Bila dah 80 perlawanan, beritahu saya', TMJ bakar semangat bakal bek Harimau Malaya
BACA LAGI: Bina reputasi di Liga M, sayangnya 3 import sensasi dilarang sarung jersi Harimau Malaya
Ini bukan kali pertama pemain berpangkalan di Eropah yang sebelum ini dicanang mempunyai kaitan dengan Malaysia menafikan dakwaan tersebut dan memberitahu kebenaran mengenai asal-usul mereka.
Situasi itu jelas mengaibkan skuad kebangsaan yang dilihat seolah-olah terlalu terdesak mahu melihat pemain baharu menyertai revolusi Harimau Malaya menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac ini.
Sikap terburu-buru penyokong dan beberapa pihak hingga tidak membuat usul periksa juga boleh jadi disebabkan faktor terlalu memuja pemain berdarah Eropah, sedangkan ramai bakat tempatan wajar diketengahkan.
Sebelum kes Druijf, terdapat tiga lagi pemain Eropah yang dicanang mempunyai darah Malaysia tampil menafikan dakwaan tersebut.
1) Josh Brownhill
Brownhill mengesahkan bahawa dia tiada pertalian dengan Malaysia. — Agensi
Pada 29 Disember lepas, ketua pasukan Burnley iaitu Josh Brownhill tampil menafikan khabar angin yang tular di media sosial mengenai kewarganegaraannya selepas dia dikaitkan dengan Malaysia.
Menerusi catatan di Instagram miliknya, pemain tengah berusia 29 tahun yang telah menjadi pemain utama pasukan Burnley sejak 2020 itu menjelaskan bahawa dia sepenuhnya berbangsa Inggeris.
Penjelasan Brownhill itu sekali gus memadam impian penyokong Harimau Malaya untuk menyaksikan pemain warisan gred A yang beraksi di liga Eropah menyarung jersi skuad kebangsaan.
Brownhill yang terkenal dengan kualiti kepimpinannya di dalam dan di luar padang itu sudah mencetak 12 jaringan gol serta empat bantuan jaringan dalam 34 perlawanan dia diturunkan pada musim ini.
2) Issac Hayden
Hayden kini beraksi bersama dengan Portsmouth secara pinjaman. — Agensi
'Jangan libatkan saya dalam perkara ini'. Ungkapan yang keluar dari mulut pemain tengah Newcastle United iaitu Isaac Hayden apabila tampil menafikan dakwaan memiliki darah keturunan Malaysia.
Menerusi media sosial miliknya, pemain berusia 29 tahun itu meminta agar peminat tidak melibatkannya dalam isu mengenai skuad kebangsaan susulan dia tidak mempunyai sebarang ahli waris atau keluarga di Malaysia bagi membolehkannya mewakili Harimau Malaya.
Sebelumnya, laman pencari bakat, Frfuturetalents melaporkan pemain yang beraksi bersama Portsmouth secara pinjaman itu memiliki pertalian darah dengan Malaysia selepas neneknya berasal daripada Kota Kinabalu, Sabah.
Untuk rekod, pemain kelahiran Chelmsford, England itu sudah telah memilih untuk beraksi bersama Jamaica di peringkat antarabangsa dan telah diturunkan ketika berdepan Amerika Syarikat November lalu.
3) Iggy Houben
Ibu Houben mengesahkan bahawa tiada pertalian dengan Malaysia. — Instagram/IggyHouben
Satu lagi kebenaran didedahkan apabila pemain skuad muda kelab Belanda iaitu Philips Sport Vereniging (PSV) Eindhoven iaitu Iggy Houben pula didedahkan menerusi perkongsian ibu penyerang sayap kanan itu.
Sebelum ini, Frfuturetalent melaporkan pemain yang pernah beraksi dengan skuad Belanda Bawah 19 tahun itu mempunyai darah keturunan Malaysia melalui neneknya yang berasal dari Titiwangsa, Kuala Lumpur.
"Malaysia? Keluarga kami 100 peratus Limburg (wilayah di selatan Belanda)," kata ibu Houben iaitu Marielle Houben menerusi Facebook miliknya.
Pendedahan ibunya itu bagaimanapun bercanggah dengan Houben yang mengesahkan ‘terbuka’ untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya sekiranya mendapat peluang sekiranya mendapat peluang pada masa akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram