[VIDEO] Bukan buat benda bomoh, pemilik Buriram United hanya berdoa sebelum tewaskan JDT


  • Podium
  • Rabu, 12 Mac 2025

Apa yang dilakukan oleh Chidchob bukanlah ritual bomoh atau perkara yang janggal, beliau hanya membaca doa mengikut kepercayaan agamanya.

HANCUR harapan seluruh penyokong Malaysia mahu melihat wakil negara, Johor Darul Ta'zim (JDT) meneruskan perjuangan di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) berakhir selepas tewas di halaman sendiri.

JDT terpaksa menelan kepahitan tewas di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dengan keputusan 0-1 menerusi jaringan Suphanat Mueanta selepas memanfaatkan kesilapan Harimau Selatan.

Pelbagai perdebatan berlaku dalam media sosial dalam perlawanan tersebut apatah lagi melibatkan beberapa keputusan yang dibuat oleh pengadil dari Kuwait, Ahmed Al-Ali.

BACA LAGI: [VIDEO] Masih berteka-teki, 3 bintang Indonesia termasuk Saddil Ramdani pernah dikaitkan bersama Gergasi Merah

BACA LAGI: Kami tahu bunuh harimau di kandang sendiri — Pemilik Buriram United

Jaringan minit-minit akhir Jorge Obregon juga dipertikai penyokong kerana pengadil mendakwa ia ofsaid selepas memeriksa Video Bantuan Pengadil (VAR) sedangkan penyokong JDT merasakan kedudukan penyerang itu tidak melepasi pertahanan terakhir Buriram United.

Bagaimanapun, JDT dan seluruh penyokong Malaysia terpaksa akur dengan keputusan yang telah dibuat oleh Al-Ali sekali gus Harimau Selatan gagal mara ke pusingan suku akhir ACLE.

Di sebalik perbincangan penyokong mengenai prestasi Al-Ali, terselit juga insiden yang mana pemilik Buriram United, Newin Chidchob dilihat sedang melakukan sesuatu di tepi padang sebelum pasukannya memulakan latihan pemanas badan.

Chidchob dipercayai menuang air di padang SSI sambil terkumat-kamit membaca mantera dan dirakam secara jelas oleh penyokong JDT yang hadir.

Sebelum itu, Chidchob juga dilihat berjalan-jalan mengelilingi SSI sambil mulutnya seolah-olah membaca mantera sebelum sepak mula.

Namun begitu, apa yang dilakukan oleh Chidchob bukanlah ritual bomoh atau perkara yang janggal, beliau hanya membaca doa mengikut kepercayaan agamanya.

Sebelum sepak mula,Chidchob turut optimis pasukannya mempunyai resipi untuk menjinakkan skuad kendalian Hector Bidoglio susulan sudah dua kali berdepan JDT sebelum ini.

"Hari ini, tidak akan berakhir seperti dua aksi terdahulu dan akan ada pemenang yang akan mara. Kami datang ke sini dengan misi membunuh Harimau di sarang Harimau.

“Jika anda tidak berjaya, anda tidak akan menang dan itu bermakna kita perlu menamatkan perjalanan kita dalam kempen ACLE 2024/25 di sini.lSaya tahu ia sukar tetapi saya perlu melakukannya, ia juga berisiko tetapi perlu berjuang dan bertarung sekuat tenaga.

"JDT adalah harimau yang menjaga gua. Dengan bahaya di sekeliling dan didorong sorakan penyokong yang membuatkan mereka sentiasa garang apabila berada dalam gua. Bersedia untuk menghancurkan setiap pelawat dalam setiap pasukan.

"Tetapi hari ini, pasukan pelawat adalah Buriram United, yang telah berdepan dengan Harimau ini dua kali sebelum ini. Kami tahu cara untuk menundukkan Harimau ini dan kami tahu menjinakkan Harimau yang garang ini ini supaya menjadi Harimau yang jinak.

"Perlawanan hari ini (Selasa) akan menjadi aksi terbaik dalam bola sepak di Asean, dan pasukan lebih baik akan melangkah ke peringkat seterusnya." katanya di laman Facebook kelab itu.

Ternyata Buriram United benar-benar mempunyai formula untuk menewaskan JDT apabila kelab gergasi Thailand itu menjadi pasukan pertama menewaskan Harimau Selatan di SSI tahun ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram