
LANTANG bersuara soal kebajikan dan hak anak seni tempatan, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi, 45, kini menceburkan diri dalam bidang perniagaan.
Biarpun lebih dikenali dalam dunia lakonan, anak jati kelahiran Gombak, Selangor itu tampil berani mempertaruhkan perniagaan insuran dan cukai jalan menerusi syarikatnya, KawKaw.My yang baru ditubuhkan sekitar Julai tahun lalu.
Biarpun masih baharu dalam dunia perniagaan, sambutan diterima daripada orang ramai sangat menggalakkan dengan lebih 100,000 jumlah klien telah diperoleh setakat ini.
BACA LAGI: Bukan sekadar kisah cinta, 'Sejarah Mungkin Berulang' sarat nilai pengorbanan seorang ayah — Tomok
BACA LAGI: 'Harapan Ramadan' nukilan Man Bai malar segar, Raihan simpan hajat beri lagu signatur nafas baharu
Zed Zaidi merupakan Presiden Persatuan Seniman Malaysia.
"Bermula dengan modal RM20,000 je, idea gila saya dan dua lagi rakan kongsi berjaya bina sebuah syarikat KawKaw insurans yang sekarang sudah memiliki lebih 100,000 klien.
"Sasaran kami tahun ni nak capai sejuta klien, Insya-ALLAH boleh tercapai sebab kami di KawKaw memang sasar untuk membantu golongan B40.
"Kami syarikat insurans dimiliki 100 peratus Bumiputera dan menawarkan harga terendah buat pengguna, boleh buat bayaran secara ansuran dan tiada sebarang caj tambahan ataupun riba dalam perniagaan kami.
"Kami bekerjasama dengan SPayLater dan GrabPayLater supaya pengguna tak terbeban sangat, boleh bayar secara ansuran ikut bajet masing-masing yang pasti semua urusan perniagaan dijalankan secara telus," katanya kepada Majoriti.
Tampil berbeza berbanding artis lain yang lazimnya menjalankan perniagaan makanan, fesyen dan kosmetik, pelakon filem Semerah Cinta Stilleto itu menganggap ia sebagai salah satu usaha menyahut seruan kerajaan ke arah dunia digital.
"Saya percaya lima ke 10 tahun akan datang, perkara ini akan bantu ramai orang, saya sahut seruan kerajaan untuk bergerak ke arah dunia digital, jadi itulah terlintas buat platform niaga atas talian insurans dan cukai jalan," katanya.
Bercerita lanjut soal karier lakonan dan peranan selaku presiden SENIMAN, Zed Zaidi atau nama lengkapnya Rozaidi Abdul Jamil berkata, dirinya masih menerima tawaran berlakon dan baru selesai menjalani penggambaran filem arahan pengarah tersohor, Dr Ahmad Idham.
Masih bergiat aktif dalam industri lakonan, Zed tidak terlintas untuk meninggalkan karier seni yang cukup diminatinya sejak sekian lama.
"Saya masih berlakon drama, telefilem dan sebagainya, cuma mungkin orang tak perasan sebab tidak ditayangkan dalam slot utama televisyen, mungkin ada yang tayang pukul 3 pagi jadi tak ramai tahu.
"Baru selesai pengambaran filem Impak Maksima 2 dan Mei nanti ada filem ketenteraan arahan pengarah yang sama dengan filem Polis Evo 2, jadi memang dunia lakonan masih kerjaya saya.
"Cumanya itu dah jadi sampingan saya, utamanya perniagaan dan tugas selaku presiden SENIMAN," tambahnya.
Berhasrat untuk terus mengembangkan lagi perniagaannya, peranan sama turut dibahagikan dalam usaha memperjuangkan hak artis tempatan agar industri terus berkembang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram