
TERENGGANU FC terus cmelerlang dalam menghasilkan pemain muda berkualiti untuk memperkukuhkan skuad utama pasukan.
Ini kerana Sang Penyu tidak pernah berhenti memberi ruang kepada pemain muda untuk berkembang sekali gus membuktikan bahawa kelab itu memiliki masa depan yang cerah.
Sejak beberapa musim lalu, Terengganu berjaya membentuk dasar pembangunan pemain muda yang kukuh, memberi peluang kepada mereka untuk beraksi di pentas tertinggi bola sepak Malaysia.
BACA LAGI: Bukan sekadar nasib, Safawi kata gol Olimpico hasil latihan gigih
BACA LAGI: Tampil cemerlang ikat Sang Penyu, prestasi 3 wira tidak didendang raih pujian fans The Rhinos
Usaha itu tidak hanya menguntungkan kelab, malah memberi impak positif kepada pembangunan bola sepak tempatan.
Meskipun meraih keputusan seri 2-2 menentang Sabah FC dalam saingan Liga Super 2024 pada Jumaat lalu, tiga pemain muda Sang Penyu berjaya mencuri tumpuan penyokong melalui persembahan cemerlang yang ditampilkan dalam beberapa perlawanan liga sebelum ini.
Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain muda yang kini dilihat sudah bersedia untuk mengisi kekosongan dalam pasukan sekiranya diberi peluang beraksi bersama skuad utama.
1) Hairiey Hakim Mamat
Bek kiri Sang Penyu, Hairiey Hakim Mamat menunjukkan peningkatan yang mengagumkan dalam beberapa perlawanan bersama Terengganu FC.
Sebagai pemain pertahanan, Hairiey memiliki ketenangan, disiplin yang tinggi dan kemampuan membaca permainan dengan baik, menjadikannya calon ideal untuk mengisi posisi dalam skuad utama.
Bek kiri Sang Penyu, Hairiey Hakim Mamat (kanan) tidak membenarkan pemain Sabah untuk menembusi benteng pertahanan TFC. — Facebook/TFC
Prestasi cemerlangnya ketika mengekang serangan Sang Badak turut menerima pujian daripada penyokong Terengganu yang berpendapat sudah tiba masanya pemain berketinggian 1.70 meter itu menggantikan Ubaidullah Shamsul Fazili di posisi pertahanan.
Walaupun masih muda, kecemerlangan anak jati Terengganu itu wajar diberi peluang untuk tampil dalam skuad utama pasukan.
Untuk rekod, Hairiey mencatatkan lima penampilan bersama Sang Penyu, dan lebih manis lagi, dia membantu Terengganu FC menewaskan Shan United 5-0 dalam saingan Kumpulan A Piala Shopee 2024 pada 8 Januari 2025.
2) Zachary Zahidadil
Pertahanan TFC III, Zachary Zahidadil berjaya menunjukkan kebolehannya di atas padang.
Dengan corak permainan tajam dan kawalan bola yang sangat baik, Zachary dilihat sebagai pelapis berpotensi untuk menjadi penggerak utama pasukan dalam beberapa musim akan datang.
Gaya permainannya yang kreatif sering mencipta peluang untuk rakan sepasukan, menjadikannya aset berharga dalam pasukan.
Pertahanan TFC III, Zachary Zahidadil. — Facebook/TFC
Pemain berusia 20 tahun itu turut dilihat mempunyai potensi tinggi untuk menggantikan bek kental Sang Penyu, Azam Azmi Murad.
Dalam perlawanan debutnya menentang Sabah FC, ketika dia menggantikan Safwan Mazlan pada penghujung babak kedua, Zachary meraih pujian daripada penyokong yang menganggap gaya permainannya mirip dengan Azam Azmi.
Posisi Azam Azmi dilihat berisiko tergugat susulan penampilan cemerlang yang ditampilkan oleh Zachary.
3) Faris Rifqi
Bek kiri Terengganu FC, Faris Rifqi juga tidak ketinggalan dalam menonjolkan kebolehannya.
Faris memiliki kepantasan dan kemahiran teknik yang luar biasa dalam mengekang jentera serangan lawan, serta mampu mengatasi tekanan dalam situasi sukar.
Dengan kelincahannya di kawasan tengah, dia dijangka mampu memberikan saingan sengit untuk merebut tempat dalam barisan serangan skuad utama.
Faris Rifqi (kanan) mengawal ketat pergerakan pemain Sabah, Saddil Ramdani. — Facebook/TFC
Kelincahannya mendapat pujian apabila dia berjaya menahan serangan daripada tonggak Sabah, Saddil Ramdani yang kelihatan bergelut untuk mencipta peluang.
Faris berjaya mengawal pergerakan pemain Sabah itu dengan ketat, menunjukkan keupayaannya dalam menghadapi cabaran besar.
Untuk rekod, Faris mencatatkan tujuh penampilan dalam saingan Liga Malaysia bersama Terengganu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram