
MASALAH kewangan kelab-kelab Liga Malaysia sudah semakin kritikal ketika ini apabila lebih separuh daripada pasukan bersaing dihidapi 'penyakit' berkenaan.
Meskipun pihak pengurusan sudah berkali-kali mengeluarkan janji bahawa isu tersebut akan diselesaikan, masih tiada sebarang perubahan positif dapat dilihat dengan penyokong terus mendesak jawapan.
Kesan daripada kemelut itu jelas membelit pemain yang perlu menampung diri dan keluarga, namun gagal berbuat demikian kerana kebajikan masing-masing terus terabai.
BACA LAGI: Tunggakan gaji bukan isu, Indonesia-Malaysia ada daya penarik bawa pemain dari Liga Finland
BACA LAGI: 'Tak rasa berdosa ke?', isteri pemain dakwa Kedah masih belum bayar tunggakan gaji 9 bulan
KL City FC, Sri Pahang dan KDN FC merupakan antara kelab bergelut dengan masalah kewangan musim ini.
Tekanan lebih besar sudah tentu dialami mereka yang pertama kali merasai masalah itu kerana kelab terdahulu seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC tidak pernah culas mengenainya.
Namun, bersama pasukan masing-masing musim ini, ada yang kurang bernasib baik apabila terpaksa mengharungi episod gelap itu sehingga perlu mengubah gaya hidup.
Berikut merupakan tiga pemain yang baru merasai masalah tunggakan gaji bersama Sri Pahang FC, Kelantan Darul Naim (KDN) FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC ketika ini.
1. Adam Nor Azlin
Antara kelab paling teruk terkesan dengan isu kewangan ialah skuad Tok Gajah apabila pemain dilaporkan tidak menerima bayaran sehingga 10 bulan meskipun berjaya layak ke pentas akhir Piala Malaysia.
Jadi, tertekan dengan sikap culas pihak pengurusan, sebahagian daripada pemain mengambil keputusan meluahkan rasa muak mereka di laman media sosial.
Pemain pertahanan senior, Adam Nor Azlin merupakan salah seorang yang paling lantang berbuat demikian kerana hanya berasa masalah itu bagi kempen 2024/25.
Adam menghabiskan majoriti daripada kariernya bersama skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Dia yang sebelum ini beraksi buat JDT dan JDT II pasti tidak pernah mengalami kemelut berkenaan memandangkan kelab Selatan tanah air berkenaan memiliki sumber kewangan kukuh.
Adam yang sudah beraksi buat skuad Harimau Selatan sejak 2018 pasti tidak pernah menjangka isu sedemikian dalam kariernya dengan hal berkenaan sedikit sebanyak memberi kesan terhadap persembahannya.
Bagaimanapun, pemain berusia 29 tahun itu tidak keseorangan kerana terdapat lambakan bekas tonggak JDT yang kini beraksi buat Sri Pahang FC dengan masing-masing pasti tidak menjangkakan hal sedemikian.
2. Hafizal Alias
Selain Sri Pahang FC, sebuah lagi kelab Pantai Timur yang mengalami masalah gaji serius ialah KDN FC sehingga timbul laporan mengatakan pasukan itu tidak akan bersaing musim depan.
Kemelut itu sememangnya sesuatu yang mengecewakan kerana skuad Kijang Emas memiliki barisan pemain berkualiti, namun tidak dapat memberi aksi terbaik kerana kebajikan masing-masing tidak terjaga.
Hafizal beraksi buat skuad TBG sebelum menyertai KDN FC. — Facebook/Perak FC
Antara yang boleh diberi pujian ialah bek tengah mereka, Hafizal Alias yang menyertai pasukan itu pada jendela perpindahan awal musim lalu dari Perak FC.
Meskipun lebih kerap meraih minit permainan, dia pasti kecewa dengan penghijrahan tersebut kerana dia tidak mengalami isu gaji serius ketika bersama skuad The Bos Gaurus (TBG).
Anak jati Terengganu itu pasti akan terbuka untuk mencari pasukan lain sekiranya KDN FC dibubarkan dengan usianya yang baru sahaja 32 tahun membolehkan beraksi untuk beberapa musim lagi.
3. Brendan Gan
Seperti dinyatakan di atas, Selangor FC merupakan salah sebuah kelab tanah air yang tidak mengalami sebarang isu kewangan kerana berjaya meraih sokongan kukuh daripada kerajaan negeri.
Jadi, tidak hairanlah terdapat beberapa pemain yang enggan meninggalkan kelab Lembah Klang itu meskipun gagal mendapat peluang kerap dalam pasukan.
Namun, pada jendela perpindahan awal musim, kapten pasukan, Brendan Gan mencipta kejutan apabila menyertai seteru utama, KL City FC yang menimbulkan 1,001 persoalan.
Kebajikan Brendan Gan terpelihara sepanjang beraksi buat skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
Ini kerana penghijrahan tersebut menyaksikan pemain kebangsaan itu dengan sengaja meletakkan diri dalam bahaya memandangkan isu gaji sudah melanda kelab berkenaan sejak awal 2023.
Ramalan ramai itu tepat apabila khabar angin mengatakan skuad Warga Kota terus mengalami masalah kewangan sehingga kebajikan pemain dan barisan kejurulatihan terabai.
Brendan Gan merupakan salah seorang yang menjadi mangsa kerana sepanjang empat musim bersama Selangor FC, dia tidak pernah berdepan isu tersebut, termasuk ketika dia menjalani rawatan anterior ligamen krusiat (ACL) dan kanser testis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram