
SATU detik kebanggaan buat industri pendidikan tinggi negara apabila seorang pelajar institusi pengajian tempatan berjaya membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nurin Dayana Alias, 23, mencipta sejarah apabila mewakili negara ke Japanese-Language Programme for Counterpart Japanese Learners of The Nihongo Partners Spring Program (Nihongo Partners Spring Program) 2025 di Jepun.
Pelajar semester enam bagi jurusan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Bahasa Melayu itu berkata, pemilihannya ke program tersebut merupakan satu penghargaan terhadap usahanya selama ini mempelajari bahasa Jepun.
BACA LAGI: Tak mahu beli baju raya, petanda Aisar Azim akan pergi selamanya
Bermula dengan menonton siri anime pada usia 15 tahun, Nurin Dayana mula berjinak-jinak untuk menfasihkan diri dengan bahasa tersebut.
Gambar hiasan.
"Saya mula mempelajari perkataan asas dalam bahasa Jepun dan berkongsi pengetahuan dengan rakan-rakan yang turut mempunyai minat sama.
“Minat saya semakin berkembang apabila melihat sepupu saya mengambil bahasa Jepun sebagai subjek elektif di universiti, yang kemudian mendorong saya untuk mempelajarinya di peringkat lebih tinggi," jelasnya.
Nurin Dayana mula serius dalam mempelajari bahasa Jepun apabila di semester kedua apabila dia mula mengambil kursus asas sebelum meneruskan pembelajaran di tahap ketiga.
Kecekapan Nurin Dayana dalam bahasa Cina turut menyumbang kepada kecemerlangannya dalam bahasa Jepun. Hasilnya, dia meraih tempat kedua dalam Pertandingan Festival Orator Peringkat Kebangsaan 2024 dalam bahasa Jepun yang dianjurkan oleh UPSI.
"Saya amat bersyukur dan gembira atas peluang ini, namun dalam masa sama, saya sedar cabaran besar yang menanti, terutama dalam memastikan saya dapat bertutur dengan lancar.
"Selain itu, ibu bapa saya juga sentiasa memberikan sokongan moral untuk memastikan saya lebih bersedia menghadapi pengalaman ini," katanya yang mempelajari bahasa Jepun daripada Puan Norhana Md Salleh.
Sepanjang program ini, Nurin Dayana akan mengikuti pelbagai aktiviti termasuk sesi pembelajaran bahasa Jepun secara intensif serta program pertukaran pelajar bersama komuniti dan universiti di Jepun.
Bagi Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Profesor Madya Dr. Mazura @ Mastura Muhammad pula, kejayaan Nurin Dayan itu sebagai bukti institusi pendidikan itu berjaya menghasilkan pelajar berkemahiran tinggi.
“Kami amat berbangga dengan pencapaian Nurin Dayana yang bukan sahaja menunjukkan kecemerlangan dalam akademik, malah memiliki semangat untuk mendalami bahasa asing.
“Pemilihan beliau dalam program ini adalah satu pencapaian yang mengharumkan nama UPSI di peringkat antarabangsa.
"Peluang seperti ini membuktikan bahawa penguasaan bahasa asing adalah satu kelebihan yang dapat membuka lebih banyak pintu kepada pelajar dalam bidang akademik dan kerjaya mereka pada masa hadapan,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram