Tunggakan gaji bukan isu, Indonesia-Malaysia ada daya penarik bawa pemain dari Liga Finland


  • Podium
  • Sabtu, 25 Jan 2025

Selangor difahamkan membayar yuran perpindahan kepada SJK Seinajoki untuk mengekalkan Nooa sebagai pemain tetap. — Instagram/Nooa

MASALAH tunggakan gaji yang hampir saban tahun menimpa Liga Malaysia (Liga M) pastinya menjadi salah satu faktor pemain import mahupun pemain dari liga lain tidak berminat untuk melebarkan karier di saingan domestik.

Lihat sahaja musim ini, pasukan penuh sejarah seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC masih tidak mempunyai jalan penyelesaian terhadap masalah kewangan mereka hingga menyaksikan sebilangan pemain sudah memilih untuk angkat kaki daripada kelab.

Kemelut kewangan itu bukan hanya berlaku dalam saingan Liga M apabila saingan Liga 1 Indonesia juga mengalami masalah sama. Meskipun berita tersebut tidak didengari pada musim ini namun sejarah tahun-tahun sebelumnya membicarakan perkara itu.

BACA LAGI: Rangkul trofi 2024 bukan jaminan, JDT umum jurulatih Sepanyol asah skuad 'ubi muda'

BACA LAGI: [VIDEO] 'Wajar lepaskan ke kelab lain, tanpa Jalil Elias pun JDT tetap baik'

Misalnya, pada musim 2023/2024 menyaksikan PSM Makassar dilanda masalah berkenaan hingga pengendali, Bernardo Tavares melelong baju serta trofi Anugerah Jurulatih Terbaik Liga 1 bagi membantu membiayai gaji pemain dan pegawai pasukan.

Bagaimanapun, tidak semua pemain dari liga luar negara terutama Eropah terus memangkah dua liga Asia Tenggara itu susulan kebelakangan ini ada sahaja tonggak dari pasaran berkenaan memutuskan untuk berkelana ke Asia.

Walaupun mungkin tidak sebanding dengan liga-liga Eropah, Liga M dan Liga 1 sering menawarkan permainan yang sangat kompetitif, dengan banyak perlawanan yang penuh dengan drama dan aksi yang menarik.

Oleh itu tidak terkejut tiga pemain dari Liga Finland kini menyarung jersi pasukan Liga M dan Liga 1 Indonesia;

1) Nooa Laine

nooa laine

Nooa secara rasminya beraksi sebagai pemain tetap Gergasi Merah. — Instagram/Nooa

Perpindahan pinjaman Nooa Laine ke Selangor FC pada awal musim ini memang menjadi bualan ramai penyokong susulan pemain itu difahamkan terlebih dahulu menawarkan diri untuk beraksi bersama juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Namun, Nooa kini sudah secara rasminya beraksi sebagai pemain tetap Gergasi Merah selepas Selangor difahamkan membayar yuran perpindahan kepada kelab Finland, SJK Seinajoki.

Ada yang mengata pemain berusia 22 tahun berkenaan membuat kesilapan beraksi di Liga M dengan menyarung jersi Selangor, namun peluang bermain bersama Gergasi Merah jelas menambah baik kualiti Nooa.

Memiliki teknik kawalan bola yang baik serta corak permainan yang unik, kehadiran Nooa jelas menambah dinamik kepada bahagian tengah pasukan sekali gus menjadikannya sebagai wajah regular untuk skuad kebangsaan.

Pemain di posisi central midfield itu mencatatkan sebanyak 27 penampilan dalam semua pertandingan disertai Gergasi Merah serta menyumbang empat bantuan jaringan setakat ini.

2) Murilo Henrique

murilo

JDT merupakan kelab pertama Murilo. — Instagram/JDT

Selepas tiga tahun berkelana di bumi Finland bersama pasukan seperti SJK Seinajoki dan HJK Helsinki, Murilo Henrique memilih JDT untuk mengembangkan lagi kerjayanya dan ia adalah kali pertama Murilo menjejakkan kaki di Asia.

Difahamkan, tawaran kontrak yang memberi kestabilan dalam kerjaya profesional Murilo menjadi alasan terbesar bekas pemain Ourense CF itu memilih Harimau Selatan sebagai destinasi seterusnya.

Kebelakangan ini, Murilo kurang mendapat peluang beraksi bersama skuad utama kerana berdepan masalah kecederaan namun inisiatif Liga M yang mempunyai aksi Piala MFL membantu memberi dia peluang bermain.

Untuk rekod, Murilo sudah tampil dalam tiga perlawanan Piala MFL dan mencetak satu gol buat JDT II dengan pasukan itu kini berada di kedudukan teratas. Dia juga tampil menerusi 15 perlawanan bersama skuad utama.

3) Jaime Moreno

jaime

Jaime Moreno (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif PS Barito Putera, Hasnuryadi Sulaiman. — Agensi

Rakan sepasukan Nooa di SJK Seinajoki iaitu Jaime Moreno tidak mengikut jejak pemain kebangsaan itu tetapi sebaliknya memperkuatkan PS Barito Putera untuk mengharungi pusingan kedua saingan Liga 1 musim 2024/2025.

Penyerang berusia 29 tahun itu beraksi cemerlang dalam Liga Finland bersama SJK Seinajoki dan ditandatangani oleh skuad Laskar Antasari selama satu setengah musim bersama pasukan tersebut.

Berdasarkan laporan media Indonesia, Moreno memilih untuk sertai Barito Putera kerana menyifatkan Liga Indonesia adalah pertandingan yang berkembang pesat dan akan bertambah baik.

Pemain yang bakal menyarung jersi nombor sembilan untuk pasukan PS Barito Putera itu dikenali sebagai penyerang yang mempunyai kebolehan penyudah yang baik dan gagah dalam duel udara.

Peledak berusia 29 tahun itu mempunyai rekod mengagumkan di Liga Finland apabila menjaringkan 12 gol dan 3 bantuan daripada 26 penampilan pada musim terakhirnya bersama SJK Seinajoki pada 2024. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram