'Siuuu' lepas geram Faisal Halim pastikan Selangor FC ke Asia dengan moral tertinggi


  • Podium
  • Ahad, 09 Mac 2025

Faisal Halim mencetak hatrik dalam aksi bertemu Kelantan Darul Naim di Stadium MBPJ selepas hampir setahun menanti. — Facebook/Selangorfc

SELANGOR FC mengesahkan status naib juara Liga Super 2024 selepas menewaskan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 7-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Sabtu.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, pemain sayap Harimau Malaya, Faisal Halim mengubati kerinduan penyokong dengan membuka tirai jaringan seawal minit ke-13.

Gol itu terhasil menerusi gerakan bijak kapten Gergasi Merah, Safwan Baharudin yang melakukan hantaran tepat kepada Faisal, membolehkannya menyempurnakan peluang dengan mudah untuk menewaskan penjaga gol Kelantan, Alfaiz Zula’amin.

BACA LAGI: Enggan jadi 'training team' JDT di final Piala Malaysia, Sri Pahang mudah lolos sekatan PDRM

BACA LAGI: Safawi kata gol cantik hasil latihan gigih, tapi fans anggap sekadar nasib

Quentin Cheng menambah derita KDN FC apabila mudah menewaskan penjaga gol yang gagal menangkap kemas rembatan pemain Selangor FC itu pada minit ke-31.

Menuju minit-minit akhir babak pertama, sentuhan terakhir Faisal Halim menjadikan kedudukan selesa 3-0 buat Selangor apabila jaringannya disahkan oleh pengadil perlawanan.

Dari kiri: Faisal Halim, Harith Haiqal dan Mukhairi Ajmal. Facebook/Selangorfc

Balik dari bilik persalinan, pertahanan Gergasi Merah, Harith Haiqal Adam Afkar memastikan Merah Kuning mendahului 5-0 menerusi gol pada minit ke-54 dan 56.

Masih mahu menambah gol, Faisal melengkapkan hatriknya apabila mudah menyempurnakan hantaran pemain gantian, Mukhairi Ajmal pada minit ke-66.

Seorang lagi pemain gantian, Aliff Izwan Yuslan memastikan kelebihan pasukan Lembah Klang itu makin selesa menerusi gol ketujuh pada minit ke-73 sekali gus menutup malam gemilang Selangor.

Walaupun beraksi dengan 10 pemain selepas Ali Olwan dikeluarkan akibat kecederaan, Selangor tetap mendominasi sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan itu memastikan Selangor kekal di tangga kedua liga dengan 46 mata, sementara Kelantan DN berada di kedudukan ke-13 dengan tujuh mata.

“Alhamdullilah, hampir setahun menanti Mickey, tahniah Selangor, ke Asia lagi kita," kata Brader Yus.

"Gol yang dinanti-nantikan,semoga jadi pembakar semangat untuk ke Asia," kata Putra Hakim.

"Siuuuuu, akhirnya gol yang dinanti-nantikan tiba," kata Sahar Ujang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram