Kiper NSFC ibarat '2 pemain', Perak FC sia-sia peluang buru kedudukan Top 6


  • Podium
  • Ahad, 09 Mac 2025

Wan Zack Haikal (tengah) gagal membantu Perak FC dalam meraih tiga mata berharga di laman sendiri aksi bertemu Negeri Sembilan FC. — Facebook/Perakfc

PERAK FC dan Negeri Sembilan FC membuktikan kekuatan seimbang apabila hanya mampu berkongsi satu mata selepas terikat tanpa jaringan dalam aksi Liga Super 2024 di Stadium Manjung, Perak pada Sabtu.

Sepanjang separuh masa pertama, kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan, namun ketumpulan jentera serangan menyebabkan mereka gagal memecah kebuntuan.

Drama tercetus di bumi Perak apabila bek tengah skuad Jang, Harith Samsuri dilayangkan kad merah selepas dikesan menarik baju Wan Zack Haikal yang berada dalam posisi menjaringkan gol.

BACA LAGI: Hampir setahun menanti 'siuuu', Faisal Halim kembali ubati kerinduan penyokong Gergasi Merah

BACA LAGI: Safawi kata gol cantik hasil latihan gigih, tapi fans anggap sekadar nasib

Tiada jaringan berjaya dihasilkan pada babak pertama di Stadium Manjung.

Memasuki babak kedua, Perak terus bergelut untuk mencipta jaringan walaupun melancarkan serangan demi serangan ke kubu lawan.

Ketumpulan penyudah serta kekebalan benteng pertahanan Negeri Sembilan menjadi penghalang utama buat skuad Seladang dalam usaha mereka memecah kebuntuan.

Skuad Jang mempamerkan disiplin bertahan yang tinggi dengan setiap pemain bertahan beraksi cemerlang, menyerap tekanan daripada Perak FC.

Penjaga gol NSFC, Aqil Razak (kanan) memainkan peranan cukup penting dalam memastikan pintu gawang skuad Jang tidak dibolosi. — Facebook/Perakfc

Gandingan pertahanan NSFC berjaya membaca pergerakan lawan, mematahkan hantaran-hantaran berbahaya, serta memastikan pintu gol terus selamat.

Walaupun Perak FC menguasai permainan dan berusaha mencari ruang untuk menembusi gawang lawan, kerapuhan di bahagian penyudah nyata menjadi masalah utama.

Kredit wajar diberikan kepada penjaga gol Negeri Sembilan FC, Aqil Razak yang mempamerkan aksi cemerlang dalam menafikan percubaan bertali arus Perak FC.

Meskipun pasukannya terpaksa beraksi dengan 10 pemain, Aqil tetap tenang dan fokus dalam mengawal gawangnya memastikan Negeri Sembilan membawa pulang satu mata berharga.

Aksi hebatnya turut mendapat pujian daripada penyokong skuad Jang yang menyaksikan sendiri bagaimana penjaga gol muda itu bekerja keras untuk memastikan pasukannya tidak pulang dengan tangan kosong.

Keeper padu, terbaik Aqil barjaya sekat serangan bertali trus Perak FC, kata Muhammad Fahmi.

Man of the Match patut diberikan kepada Aqil Razak kerana berjaya menyekat percubaan Perak,” kata Shuhaimi.

Keeper terbaik, banyak save bola Perak FC,” kata Ahmad Firdaus.

Keputusan seri itu menyaksikan Perak kekal di tangga ketujuh liga dengan 24 mata, sekali gus gagal merebut kedudukan keenam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram