
KEJAYAAN kapten Terengganu FC (TFC), Safawi Rasid menghasilkan jaringan lencong menarik dari sepakan sudut ketika aksi Liga Super 2024 menentang Sabah FC pada Jumaat dipengaruhi oleh latihan yang kerap dilakukan.
Lebih manis, Sang Penyu telah diselamatkan daripada kekalahan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Terengganu menerusi jaringan yang dikenali sebagai 'gol Olimpico' oleh Safawi pada minit ke-85.
Malah, jaringan penyamaan itu bukan sahaja membolehkan keputusan seri 2-2 dicatatkan oleh pasukannya, tetapi turut dianggap oleh Safawi sebagai jaringan terbaiknya tahun ini.
BACA LAGI: Cara Johor buat kerja tak perlu heboh tapi tahu-tahu dah jadi — TMJ
"Kita ada latihan sepakan sudut, kita cuba berlatih teknik sepakan, sekiranya ada waktu kecemasan kita nak gol cepat. Alhamdulillah, gol itu menjadi ketika bertemu Sabah dan saya berasa ia jaringan terbaik tahun ini," katanya ketika temu bual bersama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Gol Olimpico merujuk kepada jaringan yang dihasilkan menerusi sepakan penjuru yang terus masuk ke gawang tanpa sebarang sentuhan daripada pemain lain.
Istilah itu berasal dari temasya Olimpik 1924, apabila pemain Argentina, Cesareo Onzari, mencipta gol sedemikian dalam perlawanan menentang Uruguay.
Meskipun Safawi Rasid berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol Olimpico, masih ada segelintir penyokong tanah air yang berpendapat bahawa jaringan tersebut hanyalah kebetulan atau sekadar tuah semata-mata.
“Gol nasib saja, pendapat saya, Arif Aiman Hanapi merupakan penendang sudut terbaik,” kata Rahmat Abata.
“Pendapat saya gol yang dihasilkan oleh Safawi hanya kebetulan saja,” kata Daniel Benzama.
“Gol nasib saja itu, kesilapan komunikasi pertahanan dan penjaga gol Sabah,kalau tak memang tak gol,” kata Amirul Amin.
Dengan keputusan seri tercatat di Gong Badak itu, Sabah kekal menghuni tangga ketiga carta dengan 36 mata, manakala Terengganu di tempat keempat dengan 32 poin.
Selepas ini, Terengganu akan bertemu Selangor FC di halaman lawan pada 5 April, manakala Sabah pula bakal berdepan cabaran PDRM FC hari yang sama di laman sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram