
AKSI minggu ke-23 Liga Super 2024 menyaksikan Sabah FC berjaya membawa pulang satu mata selepas mengharungi perlawanan sengit menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Terengganu pada Jumaat.
Skuad kendalian Martin Stano tampil dengan prestasi cemerlang, mempamerkan ketahanan tinggi dalam mengekang asakan bertali arus pasukan tuan rumah.
Dengan misi wajib menang, Sang Badak terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi rembatan padu Stuart Wilkin pada minit ke-17, hasil hantaran jauh Saddil Ramdani.
BACA LAGI: JDT hitung hari, jaguh kelab China, Korea Selatan pun 'terciduk' di SSI, apatah lagi Buriram United
Terkejut dengan jaringan itu, Sang Penyu meningkatkan serangan dan enam minit kemudian, Ismaheel Akinade menanduk masuk gol penyamaan hasil umpanan Akhyar Rashid.
Sang Badak kembali di hadapan 2-1 menerusi tandukan Saddil hasil umpanan R. Dinesh dua minit sebelum rehat. Namun, kemenangan mereka dinafikan apabila kapten Terengganu FC, Safawi Rasid menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-84.
Walaupun perlawanan berakhir dengan keputusan seri 2-2, tiga pemain Sabah FC berjaya mencuri perhatian penyokong The Rhinos dengan persembahan luar biasa mereka.
Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang menjadi tumpuan dalam perlawanan ini.
1) Daniel Ting
Bek kiri Sang Badak, Daniel Ting membuktikan dirinya sebagai benteng pertahanan tengah yang sukar ditembusi.
Meskipun tanpa kehadiran Dominic Tan, Ting berjaya membuktikan keupayaannya beraksi cemerlang sebagai bek tengah.
Daniel Ting (kiri) memainkan peranan cukup penting sebagai bek tengah. — Facebook/Sabahfc
Dengan ketenangan, disiplin dan kebolehannya membaca permainan, pemain berketinggian 1.84 meter itu bukan sahaja berjaya mengekang serangan Sang Penyu namun turut membantu dalam melancarkan serangan dari bahagian sayap.
Meskipun keputusan seri 2-2 mungkin tidak memihak sepenuhnya kepada Sabah, persembahan cemerlang Daniel tetap menjadi satu aset berharga bagi Sang Badak.
Daniel Ting tampil kukuh di benteng pertahanan, kekal tidak dibolosi menerusi permainan terbuka dalam dua perlawanan sebagai bek tengah.
2) R. Dinesh
R. Dinesh wajar dikekalkan di posisi bek kiri Sabah kerana ketekunan dan kebijaksanaannya dalam mengawal pergerakan bola ketika berdepan serangan lawan.
Walaupun jarang diturunkan, pemain berketinggian 1.71 meter itu membuktikan keupayaannya setiap kali diberi peluang, tampil dengan persembahan luar biasa yang membalas kepercayaan jurulatih.
Keupayaan Dinesh bukan sahaja terletak pada ketahanan pertahanan, tetapi juga pada kebolehannya menyokong serangan.
Meskipun jarang diturunkan namun Dinesh berjaya mencuri hati penyokong dengan persembahannya. — Facebook/Sabahfc
Dalam aksi bertemu Sang Penyu, selain rajin membantu di bahagian sayap, Dinesh memiliki kawalan bola yang baik serta mampu melakukan hantaran lintang (crossing) berkualiti yang berpotensi mencipta peluang gol untuk pasukan.
Sumbangannya dalam permainan menjadikannya aset penting bagi Sabah dengan impak besar dalam usaha memperkukuhkan pertahanan dan mempercepatkan transisi serangan.
Jika diberikan lebih banyak peluang, Dinesh berpotensi menjadi salah satu bek kiri terbaik untuk Sang Badak sekali gus menyumbang kestabilan dan kreativiti di bahagian sayap pertahanan Sabah FC.
3) S. Kumaahran
Bekas penyerang Harimau Muda, S. Kumaahran sekali lagi berhasil membuktikan kepada penyokong tanah air bahawa kehadirannya dalam skuad utama mampu menambah sengat di depan pintu gol.
Kumaahran memainkan peranan penting dalam jentera serangan Sabah FC ketika berdepan Terengganu dengan membantu pasukannya mencipta banyak peluang gol.
Kelincahan Kumaahran tidak boleh dinafikan apabila dia banyak mencipta peluang peluang gol buat Sabah. — Facebook/Sabahfc
Dengan kelincahan dan kreativiti di bahagian depan, Kumaahran kerap mengucar-ngacirkan pertahanan lawan serta membuka ruang buat rakan sepasukan melakukan percubaan berbahaya.
Gandingannya bersama R. Dinesh di bahagian kiri turut meraih pujian penyokong, dengan kedua-duanya mempamerkan keserasian yang baik dalam menggerakkan serangan.
Kumaahran bukan sahaja bijak mencari posisi terbaik untuk menerima hantaran, tetapi juga memiliki visi yang tajam dalam merancang gerakan berbahaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram