Dihantui rekod buruk di All England, duo Man-Tee sudah tahu tangani tekanan


  • Podium
  • Rabu, 19 Feb 2025

Wei Chong-Kai Wun memberi tumpuan untuk kejohanan All-England.

BEREGU lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, semakin menghampiri kelompok 10 pasangan terbaik dunia selepas mencatatkan pencapaian tertinggi dalam kerjaya mereka dengan menduduki ranking ke-11 dunia dalam kemas kini terbaharu.

Perkembangan itu hadir selepas mereka menunjukkan prestasi cemerlang dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) di Qingdao, China baru-baru ini, yang menyaksikan mereka naik satu anak tangga daripada kedudukan ke-12 dunia.

Wei Chong-Kai Wun turut menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang berjaya memenangi kedua-dua perlawanan peringkat kumpulan menentang Indonesia (Shohibul Fikri-Daniel Marthin) dan Hong Kong (Hung Kuei Chun-Lui Chun Wai).

BACA LAGI: Lin Dan, ahli gandingan beregu emas negara antara bintang kidal badminton terhebat dunia

BACA LAGI: [VIDEO] Sedih dibuang BAM, pemain badminton negara 'move on' mahu fokus belajar

Lebih membanggakan, mereka turut meraih kemenangan berprestij ke atas rakan sepasukan yang berada di ranking kelima dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, serta pasangan tuan rumah yang menghuni ranking keempat dunia, Fajar Alfian-Rian Ardianto. 

Kemenangan berkenaan diraih dalam straight set ketika mereka menjuarai Masters Indonesia di Jakarta bulan lalu.

Mengulas mengenai pencapaian mereka itu, Kai Wun mengakui bahawa jurang dengan beregu terbaik dunia semakin mengecil, dan mereka kini lebih bersedia untuk bersaing di tahap tertinggi.

“Mentaliti pasangan 10 terbaik dunia lebih kuat daripada kami sebelum ini, tetapi kini kami semakin mengejar mereka,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur. 

aaron

 Aaron-Wooi Yik juga antara pesaing terdekat Wei Chong-Kai Wun.

Menurutnya, mereka kini lebih tenang di gelanggang serta lebih bijak mengendalikan tekanan ketika berhadapan dengan lawan.

“Sebelum perlawanan, kami lebih banyak berbincang mengenai strategi dan memberi tumpuan pada setiap pukulan tanpa terlalu memikirkan soal menang atau kalah. Ini memberi kami kebebasan untuk bermain dengan baik,” tambahnya.

Setelah meraih keyakinan tinggi, pasangan tersebut kini memberi fokus kepada dua kejohanan penting di Eropah, iaitu Masters Orleans di Perancis dari 4 hingga 9 Mac dan All England di Birmingham dari 11 hingga 16 Mac.

Wei Chong-Kai Wun bertekad untuk menamatkan rekod hambar mereka di All England, di mana mereka belum pernah melepasi pusingan pertama.

“Kami berharap dapat mencipta kejayaan kali ini dan mara sekurang-kurangnya ke pusingan kedua,” kata Kai Wun.

dalam_coach

Wei Chong-Kai Wun perlu menarik perhatian Herry Iman (gambar) untuk meraih tempat dalam skuad Piala Sudirman.

Selain itu, mereka turut berusaha memikat perhatian jurulatih baharu, Herry Iman Pierngadi, bagi mendapatkan tempat dalam skuad Piala Sudirman yang akan berlangsung di Xiamen, China, dari 27 April hingga 4 Mei.

“Kami perlu bersaing dengan dua pasangan yang berada di ranking lebih tinggi, jadi kami hanya boleh melakukan yang terbaik di Eropah dan selebihnya terserah kepada pemilihan pasukan,” katanya.

Pasangan berkenaan juga mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki, terutama dari segi strategi di gelanggang.

“Kami berharap dapat beraksi dengan baik dalam setiap kejohanan. Jika kalah sekalipun, kami mahu memperoleh sesuatu dan tidak pulang dengan tangan kosong,” tambah Kai Wun.

Dengan semangat yang semakin membara, Wei Chong-Kai Wun kini bersedia untuk terus melakar kejayaan di pentas antarabangsa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram