[VIDEO] Arne Slot menyesal tuduh 'referee', janji tunjuk contoh lebih baik


  • Podium
  • Khamis, 06 Mac 2025

Slot berang dengan tindakan Oliver yang mengesahkan jaringan Everton.

PENGURUS Liverpool, Arne Slot, mengakui kesilapannya selepas hukuman penggantungan akibat konfrontasi dengan pengadil, Michael Oliver.

Slot, mengakui bahawa dia perlu memberi contoh yang lebih baik pada masa hadapan selepas butiran mengenai kemarahannya terhadap Oliver didedahkan.  

Slot hilang sabar dengan Oliver selepas perlawanan derbi Merseyside menentang Everton, yang berakhir dengan keputusan seri 2-2 selepas James Tarkowski menjaringkan gol penyamaan dramatik pada masa kecederaan.

BACA LAGI: Fans JDT label taktikal Hector Bidalgio lemah, punca seri lawan Buriram United

BACA LAGI: Senarai bocor Piala Belia 2025, Sri Pahang dan KDN FC beri petanda awal tarik diri Liga Super musim depan?

Pengurus dari Belanda itu bergegas ke padang, mendakwa Oliver akan menjadi punca jika Liverpool gagal memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Slot kemudian dikenakan penggantungan dua perlawanan dalam saingan domestik dan denda sebanyak £70,000 (RM398,000) oleh Persatuan Bola Sepak England (FA).  

Bercakap kepada media sebelum perlawanan Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain (PSG), Slot mengakui kesilapannya dan berkata, dia sepatutnya mengawal emosinya dengan lebih baik.  

"Ketika itu, saya sangat beremosi mengenai segala yang berlaku dalam tujuh atau lapan minit terakhir dan mungkin sepanjang perlawanan.

"Saya memilih untuk masuk ke padang daripada bertenang dan berbincang dengan Michael (Oliver) secara lebih baik. Kini, saya sudah tidak beremosi dan sedar bahawa saya perlu memberi contoh yang lebih baik pada masa hadapan," kata Slot.  

Slot didakwa bertindak secara tidak wajar serta menggunakan perkataan menghina dan bersikap kasar terhadap pengadil dan pembantunya.

Hukuman denda asal sebanyak £100,000 (RM569,000) dikurangkan kepada £70,000 (RM398,000) kerana Slot telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan menerima kesalahan tanpa bantahan.  

Selain itu, pembantu Slot, Sipke Hulshoff, turut menerima hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda £7,000 (RM39,000) selepas didakwa mendekati Oliver dengan cara yang "sangat agresif" dan mengeluarkan kata-kata kesat.  

FA juga mengenakan tindakan terhadap Liverpool dan Everton kerana gagal mengawal tingkah laku pemain mereka dalam perlawanan yang penuh kontroversi itu.

Kekecohan bermula selepas jaringan Tarkowski pada minit ke-98 yang diluluskan oleh VAR, meskipun Liverpool percaya gol itu sepatutnya dibatalkan kerana terdapat tolakan oleh penyerang Everton, Beto, terhadap Ibrahima Konate dalam proses membina serangan.

Perlawanan bertambah panas apabila pemain tengah Everton, Abdoulaye Doucoure, meraikan kemenangan di hadapan penyokong Liverpool, yang kemudian mencetuskan konfrontasi dengan pemain lawan, Curtis Jones.

Kedua-dua pemain dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua. Slot dan Hulshoff juga menerima kad merah selepas menghampiri Oliver di tengah padang.  

Selepas menjalani hukuman penggantungan, Slot dijangka kembali ke bangku simpanan untuk perlawanan domestik pertamanya selepas rehat antarabangsa pada 16 Mac, ketika Liverpool berdepan Newcastle dalam perlawanan akhir Piala Carabao.  

Liverpool, yang kini mendahului EPL dengan kelebihan 13 mata, akan menerima kunjungan Everton di Anfield pada 2 April. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram