Masa tak banyak, Lee Zii Jia cuma ada Orleans Masters 'asah raket' sebelum All England


  • Podium
  • Ahad, 02 Mac 2025

Lee Zii Jia bakal kembali ke gelanggang dengan menyertai Orleans Masters.

KALENDAR Jelajah Dunia BWF pada Mac cukup menarik untuk disaksikan dengan rata-rata pemain menumpukan tumpuan mereka kepada pertandingan di Eropah.

Hal ini kerana, salah kejohanan utama jelajah iaitu All England akan diadakan pada 11 hingga 16 Mac.  Namun sebelum itu, pertandingan tahap Super 300 iaitu Orleans Masters di Perancis akan diadakan bermula 4 hingga 9 Mac.

Dari sudut pandang badminton tempatan, kejohanan tersebut akan menyaksikan penampilan pertama Lee Zii Jia dalam jelajah musim 2025 selepas berehat daripada kecederaan. Orleans Masters mungkin kejohanan kecil, namun cukup penting dalam membina momentum pemain itu.

BACA LAGI: Zii Jia cedera, Jun Hao pikul tanggungjawab besar sepanjang BAMTC

BACA LAGI: Lepas Terbuka Malaysia, Zii Jia sah tarik diri kejohanan di India, Indonesia

Yang pertama sejak kecederaan

Di saat rakan-rakan senegara seperti Goh Sze Fei-Nur Izzuddin dan Goh Soon Huat-Shevon Lai sudah memanaskan 'enjin' mereka sejak awal tahun, Zii Jia baru saja hendak bermula di Perancis.

Kecederaan yang dialaminya oleh pada Jelajah Dunia Akhir pada tahun lalu mengganggu permulaan Zii Jia hinggakan dia terlepas beberapa kejohanan penting seperti Terbuka Malaysia, Terbuka India dan Indonesia Masters.

Orleans Masters akan menjadi kejohanan pertama Zii Jia selepas kecederaan. Mujur buatnya, kejohanan bertaraf rendah itu membawa tekanan yang rendah kepadanya kerana tidak semua bintang utama dunia akan turun beraksi.

Oleh itu, dia mempunyai kurang tekanan dalam membina momentum sebelum turun di All England pada minggu berikutnya.

Potensi pergi jauh

Memandangkan Orleans Masters merupakan kejohanan berskala rendah, tidak begitu ramai pemain utama akan menyertainya sekali gus membuka ruang untuk Zii Jia pergi jauh dalam pertandingan itu.

Berdasarkan undian yang sudah dilakukan, Zii Jia akan memulakan pertandingan bertemu pemain bukan pilihan dari Chinese Taipei, Chi Yu Jen di pusingan pertama sebelum pemain Jepun, Koo Takahashi menantinya di pusingan kedua.

Toma Junior Popov berpotensi menanti Zii Jia di suku akhir. — Agensi

Cabaran sebenar dijangka menanti Zii Jia pada suku akhir dengan dia berpotensi bertemu wakil tuan rumah, Toma Junior Popov dan Alex Lanier semasa separuh akhir.

Dengan laluan yang tidak begitu sukar, Zii Jia boleh mencorak peluang untuk mara jauh dan cuba mendapatkan kejuaraan pertamanya musim ini di Perancis.

Mesti dalam gear tinggi

Dengan kembalinya ke gelanggang, Zii Jia tiada pilihan lain selain daripada mempamerkan persembahan baik apabila bertemu pihak lawan.

Bukanlah kejuaraan yang menjadi sasaran utama, tetapi Zii Jia harus cepat 'panas' di Perancis kerana cabaran sebenar menanti di All England pada minggu berikutnya.

Orleans Masters merupakan peluang terbaik Lee Zii Jia membina momentum. — Agensi

Masa jelas mencemburui Zii Jia, oleh itu dia perlu tampil bergaya dengan persembahannya sambil berhati-hati bagi mengelak kecederaan berulang.

Penyokong badminton tempatan pastinya merindukan aksi Zii Jia. Di Orlean Masters, jaguh perseorangan lelaki negara itu akan kembali menggegar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram